TAKUT BERCAKAP? Nervous dan Gugup?

Assalamualaikum dan salam perjuangan! Apa khabar adik-adik Abang Badr? Harap semuanya ceria dan bersemangat untuk menjadi lebih baik daripada diri  kita yang semalam.

Episod kali ini mungkin agak berbeza berbanding dengan perkongsian yang terdahulu. Hari ini Abang Badr ingin mengajak anda semua menghitung semula kekuatan diri agar mampu mengelak daripada terjahan masalah dan mehnah pada masa akan datang.

Ya, kemahiran untuk berbicara. Ramai di antara kita yang sedar akan kepentingannya. Namun tidak ramai di antara kita yang bersungguh-sungguh dalam menguasainya. Sebagai seorang jurulatih profesional dalam bidang ini, molek kiranya Abang Badr menghurai serba sedikit permasalahan ini.

Di AMPAC, Abang Badr sering kali bertemu dengan ibu bapa yang sangat risaukan masa depan anak mereka tatkala memerhatikan keyakinan anak berada di paras rendah. Di AMPAC juga Abang Badr juga tidak boleh lari daripada  berdepan  dengan remaja dan belia yang kurang menyerlah di sekolah dan universiti akibat kelemahan mereka  berkomunikasi.

Tidak cukup dengan itu, Abang Badr di AMPAC juga acap kali menghadapi situasi yang melibatkan orang dewasa gugup dan gementar untuk berbicara dalam temuduga meskipun ijazah sarjana yang digalasnya! Sungguh, kemahiran berbicara sangat penting tetapi kita tidak pula nampak dengan jelas akan kepentingannya.

IDEA SEKADAR IDEA, SEMUANYA SIA-SIA

Andainya anda tidak bijak berbicara, tidak kiralah anda ini kanak-kanak, remaja atau dewasa, pasti idea anda menjadi sia-sia. Mana tidaknya, apabila mesyuarat atau perbincangan berlangsung, anda sekadar kelihatan bingung. Anda mendengar dan mengangguk meskipun di minda anda sarat dengan idea bernas. Namun kebernasan idea dan kematangan buah fikiran anda itu sekadar menyanyi di otak dan terkunci di mulut. Hasilnya, perbincangan itu sekadar menjadi taklimat satu hala!

Lebih menyedihkan apabila tamatnya perbincangan, barulah anda mula berbicara dengan teman betapa idea anda sungguh hebat jika dibandingkan dengan keputusan mesyuarat sebentar tadi. Namun semuanya tidak berguna lagi kerana anda sepatutnya mengeluarkan pendapat hebat itu semasa mesyuarat berlangsung. Anda rugi,organisasi pun rugi!

Dan semua ini berlaku kerana anda gentar untuk berbicara. Anda takut untuk bangun dan menyuarakan pendapat anda. Anda gemuruh setiap kali orang melihat anda berbicara. Anda risau kata-kata anda akan disanggah oleh orang lain. Ketakutan-ketakutan kecil ini sebenarnya menyebabkan masalah menjadi sangat besar!

TEMUDUGA MENJADI MEDAN SENGSARA

Andainya anda tidak bijak berbicara, tentu sekali sukar untuk anda menghadapi temuduga. Sama ada ia temuduga kerja atau biasiswa, kekurangan anda dalam berkomunikasi akan menjadi kelemahan paling utama dan disebut-sebut di kalangan penemuduga.

Biarpun keputusan peperiksaan sehebat mana sekali pun, temuduga dilaksanakan bukan untuk menguji kehebatan akademik anda. Ia medan untuk melihat adakah anda memiki kemahiran insaniah. Ini kerana kemahiran insaniah atau softskills  ini yang bakal menjadi senjata untuk anda berjuang dalam dunia kerjaya!  Jadi, kelemahan anda menampakkan bijak berbicara dalam masa yang sama menampakkan juga anda tidak layak untuk mendapat biasiswa dan kerja!

Sekiranya anda diterima bekerja sekalipun, tanpa kemahiran komunikasi yang bagus, anda pasti bermasalah dalam memanjat tangga kerjaya. Kerjasama kumpulan tidak terbina dengan baik, hubungan dengan majikan tidak utuh dan jejambat dengan pelanggan atau klien sangat rapuh. Sungguh, anda sangat-sangat memerlukan kemahiran berbicara!

 MENUNTUT ILMU JUGA TERGANGGU

Andainya anda tidak bijak berbicara, proses anda menuntut ilmu juga terganggu. Mana tidaknya, untuk menjadi pelajar cemerlang, anda perlu banyak membuat pembentangan. Dan pembentangan anda mesti meyakinkan dan berjaya menyampaikan mesej yang ingin disampaikan.

Pelajar yang pintar tetapi tidak bijak berbicara akan terkandas pada satu tahap. Tahap yang memerlukan mereka untuk berkongsi kepintaran mereka dengan pelajar lain. Alangkah ruginya untuk mereka yang bergeliga otak tetapi tidak petah berbicara!

KEPIMPINAN LEMAH DAN MELEMAHKAN

Andainya anda tidak bijak berbicara, anda tidak mampu memimpin dengan bagus! Dan anda perlu ingat bahawa kita semua adalah pemimpin.

Ya, sepertimana yang disabdakan oleh Nabi : “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan disoal tentang kepimpinanmu.”

Justeru, sama ada kita mahu atau tidak, bersedia ataupun belum, kita adalah pemimpin. Dan pemimpin yang hebat tidak dapat lari daripada memiliki kemahiran komunikasi yang mantap! Pernahkah anda melihat pemimpin yang hebat berbicara? Betapa jauhnya anda untuk menjadi sehebat mereka sekiranya ada tidak bijak berbicara!

KERJA DAKWAH MENJADI SUSAH

Andainya anda tidak bijak berbicara, tugas yang kita galas sebagai pendakwah turut menjadi susah. Meskipun kita bukan ustaz atau ustazah, ingatlah sabda Nabi : “Sampaikan daripadaku walau satu ayat.” Dan hadith ini ditujukan untuk semua Muslim.

Sememangnya dakwah yang terbaik adalah menerusi akhlaq. Namun lisan turut memainkan peranan besar dalam menyampaikan dakwah. Pendakwah yang bijak berbicara mampu meninggalkan kesan mendalam kepada telinga dan hati pendegar dengan izinNya. Namun jika kita tidak bijak berbicara, dakwah kita dikhuatiri sekadar menyapu telinga dan terus berlalu tanpa menyentuh hati.

Dan jangan lupa, para Rasul utusan Ilahi semuanya memiliki kepetahan berpidato dan kelancaran berbicara. Ini merupakan senjata dalam menyebarkan risalah Allah. Maka sangat rugi untuk anda dan kita semua andai kemahiran berbicara tidak kita miliki. Islam perlukan kita. Maka lakukanlah untuk Islam!

PENUTUP

Akhir kata, jom kita jadi seorang yang bijak berbicara! Kita elakkan musibah, kita jauhi masalah. Kita undang kejayaan, kita jemput kecemerlangan. Usah gentar berbicara kerana Islam perlukan kita!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *