MINDA USAHAWAN; Patut atau Tidak Untuk Remaja?

Assalamualaikum dan salam perjuangan! Moga adik-adik pada saat ini sedang mengukir senyuman dan sungguh teruja untuk perkongsian kita yang seterusnya!

Topik kali ini mungkin ada yang mencebik dan merasakan ini bukan untuk aku. Aku tidak dilahirkan untuk menjadi orang bisnes. Aku tak pandai berniaga dan tak mahu berniaga. Cita-citaku untuk menjadi doktor atau jurutera.  Bukannya peniaga. Lagipun untuk pandai berniaga, aku perlu pandai menipu supaya keuntungan dapat aku sapu!

SALAH FAHAM

Haaaa…oleh kerana pemikiran macam inilah yang menyebabkan Abang Badr terasa sangat terpanggil untuk berbicara tentang topik ini. Ramai orang yang mempunyai pandangan yang salah tentang dunia keusahawanan. Malah pandangan yang salah ini menjadi barah dalam ummah yang akhirnya mengundang padah!

Biar betul? Macam besar je impak topik kali ini.

Ya, topik kecil ini sememangnya mengheret implikasi yang besar untuk kita semua. Salah faham dan tidak mahu faham adalah sikap yang menyebabkan ramai di antara kita yang gagal sebelum bermula.

Oleh kerana itulah ramai orang kita yang menceburi bidang perniagaan akhirnya gagal. Pertama, mereka berniaga kerana tiada pilihan dalam dunia kerjaya. Mungkin juga kecewa dengan alam pendidikan. Dan ada juga yang sekadar suka-suka. Tiada ilmu. Tiada mentor. Tiada perancangan apatah lagi sistem. Kerana tidak pernah memikirkan perihal keusahawanan pada usia muda! Mereka sekadar berjaya membuat perancangan bisnes di atas kertas untuk mendapatkan pinjaman dan diakhiri dengan sekadar menambah hutang keliling pinggang!

Kedua, ada juga yang merasakan perniagaan adalah sesuatu yg susah lagi menyusahkan. Lebih baik makan gaji dan menantikan hujung bulan. Lebih selamat. Lebih nikmat. Tak perlu fikir bab modal. Tak perlu runsing menghadapi untung dan rugi.

Ketiga, ada juga yang mendakwa perniagaan memerlukan penipuan untuk meraih keuntungan. Tebu perlu ditanam di pinggir bibir. Kemanisan mesti sentiasa menemani lisan, meskipun produk yang dijual mungkin tak berkesan. Dan untuk sesebuah perniagaan berjaya, perlu ada elemen rasuah dan klien perlu disajikan dengan entertainment yang mengundang seribu satu maksiat. Dan pelbagai lagi bentuk salah faham yang mencengkam minda masyarakat terhadap keusahawanan.

Percayalah adik-adik sekalian, dunia usahawan bukannya begitu.

KEUSAHAWANAN DARI KACA MATA ISLAM

Islam tidak menghalang umatnya untuk menjadi usahawan. Malah Islam menggalakkan kita untuk berniaga dan tidak mengharapkan bulan jatuh ke riba.

Sudahkah anda lupa bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dahulunya adalah seorang usahawan? Bersama Saidatina Khadijah membina empayar perniagaan.

Sudahkah anda lupa bahawa sahabat-sahabat besar Nabi juga adalah usahawan yang hebat. Semestinya nama seperti Abdul Rahman bin Auf bermain di minda anda. Abu Bakar As-Siddiq juga usahawan yang berjaya. Dan dengan kekayaan mereka ini, usaha melebarkan Islam menjadi lebih perkasa.

Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda, 9/10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan. Ini adalah hadith motivasi untuk kita semua. Untuk kita melihat betapa perniagaan itu tidak salah. Malah perniagaan itu sumber rezeki yang terbesar!  Mengapa kita sekadar memerhatikannya dari jauh? Mengapa kita mahu berada di dalamnya?

APA PERLUNYA ANDA BERMINDA USAHAWAN ISLAMI?

Namun masih ada yang tertanya-tanya, apa perlunya aku menjadi usahawan?

Perkara pertama yang Abang Badr mahu adik faham adalah insan yang berminda usahawan memiliki sikap yang berbeza. Mereka berfikiran positif untuk memastikan semua cabaran dan masalah hidup menjadi peluang. Mereka berdaya saing dan tidak mudah mengalah kerana sifat perniagaan memerlukan istiqamah dalam perjuangan. Mereka bergantung penuh kepada Allah kerana rezeki yang hadir kadangkala tidak menentu. Hanya Allah tempat mengadu. Dan tarikh hujung bulan bukan masa menanti gaji tetapi waktu untuk memberi.

Andai anda memiliki minda usahawan Islami, anda akan melihat betapa keusahawanan menjadikan anda lebih dekat dengan Allah. Anda membina sifat amanah. Anda menjana sifat suka bersedekah. Anda bakal menjauhi sifat mazmumah.

Usahawan Islami melihat keusahawanan itu sebagai satu cabang jihad. Jihad ekonomi. Setiap langkah dan tindakan ditunjangi niat yang ikhlas. Akhirnya membuatkan perniagaan itu menjadi ibadat.

Ya, Abang Badr faham ada di antara anda yang masih memikirkan cita-cita asal anda untuk menjadi seorang profesional. Adik, percayalah, dengan memiliki minda usahawan Islami, cita-cita anda bakal membesar dan melebar. Mana tidaknya, andai anda bercita-cita menjadi doktor, dengan minda usahawan Islami, anda akan bersemangat untuk menjadi doktor yang memiliki 10 buah klinik!

Ini kerana minda usahawan Islami sentiasa mengasak tubuh anda untuk melakukan sesuatu semaksima mungkin. Daripada mengubati 20 orang pesakit sehari, lebih baik mengubati 200 orang pesakit sehari. Bagaimana ia mampu dilakukukan? Perniagaan! Anda perlu berminda usahawan Islami kerana ia akan mengajak anda berfikir di luar kotak.

Seterusnya, anda perlu berminda usahawan Islami kerana dunia hari ini menyaksikan Islam sebagai agama yang terbesar. Paling ramai penganut di seluruh dunia. Namun ramai di antara kita yang masih miskin dan meminta-minta. Mana mungkin kita mampu memberi andai kita sendiri tidak ada sumber yang mencukupi.

Ingat, 9/10 sumber rezeki adalah perniagaan. Dengan adanya usahawan Islami yang ramai dan berjaya, nasib umat Islam di seluruh dunia lebih mudah untuk dibela. Tidak perlu kita buat-buat tidur apabila tabung masjid berada di depan mata. Tidak perlu lagi kita melarikan diri apabila terlihat anak-anak yatim meminta sedekah. Tidak perlu kita mengeluh tiada wang apabila berlangsungnya kempen menyelamatkan ummah di peringkat antarabangsa.

Ini kerana usahawan Islami, dia hebat duniawi dan ukhrawi. Dia memiliki kekuatan ekonomi yang berpaksikan kekuatan rohani. Tidakkah anda teruja untuk menjadi sebahagian daripada golongan mujahid ekonomi ini?

Sekadar menjentik minda agar anda mula berfikir!

PENUTUP

Ingat, tidak salah berminda usahawan malah ia cukup penting dalam membangunkan potensi diri anda! Di AMPAC, menerusi modul Usahawan Dirancang inilah yang menyebabkan mereka yang pada asalnya pemalu menjadi berani, miskin impian menjadi kaya visi, jahil merancang menjadi bijak mengatur strategi!

Memandangkan ribuan orang telah berjaya dibantu, Abang Badr yakin dan percaya adik-adik semua mampu untuk dilonjakkan prestasi agar menjadi usahawan Islami yang hebat duniawi dan ukhrawi. Selagi anda yakin dan membenarkan diri anda untuk mencuba benda baru yang hebat, anda sudah memulakan langkah untuk menjadi insan yang hebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *