STRESS? Ini Rahsia Untuk Gembira dan Menggembirakan!
Assalamualaikum dan salam ceria kepada semua pembaca! Kali ini Abang Badr sangat-sangat memerlukan kerjasama anda semua untuk senyum selebar-lebarnya terlebih dahulu. Senyum. Lebarkan lagi senyuman anda. Haaa….macam tulah! Senyuman itu kan sedekah. Dan senyuman juga mampu menyebabkan kita gembira walaupun pada asalnya sekadar senyuman terpaksa!
Kenapa perlu ceria sangat ni? Mungkin ada yang tertanya-tanya. Ini semuanya kerana maudhu’ yang Abang Badr akan kupas pada hari ini melibatkan keceriaan dan kegembiraan. Pada zaman moden yang serba serbi pantas dan laju ini, hidup insan seperti kita acap kali dilanda stress dan tekanan hidup. Maka tiba masanya untuk anda belajar bagaimana untuk gembira supaya stress dapat diketepi, keseronokan pula yang bakal menanti! Ia tidak memerlukan modal besar namun hasilnya insyaAllah memberikan impak besar bagi hidup anda! Biar betul?!
Betul! Apa yang anda perlu tahu adalah untuk anda gembira, anda perlu menggembirakan orang lain terlebih dahulu! Biar betul? Betul lah! Mari kita susuri bagaimana prinsip ini berfungsi dan tips-tips yang bakal membantu anda dalam menggembirakan hati insan lain yang seterusnya menjemput kegembiraan dalam kehidupan anda sendiri!
MANUSIA ZAMAN SEKARANG
Manusia zaman sekarang lebih banyak yang mementingkan diri. Mereka lebih mengutamakan apa yang memberikan manfaat kepada mereka. Manakala perkara yang bersifat cenderung kepada kebaikan orang lain, semuanya ditolak ketepi. Asalkan tekak mereka dibasahi dan perut mereka dipenuhi, persoalan lain bisa saja dianak tiri.
Lebih ramai yang memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan duit daripada menginfaqkan sebahagiannya pada jalan Allah. Malah lebih ramai juga yang mahukan kehendak seleranya ditepati berbanding memikirkan nasib mereka yang langsung tidak mampu untuk sesuap nasi. Manusia oh manusia.
Kedangkalan inilah yang menyebabkan mereka hidup dalam keadaan yang tertekan, takut dan risau tidak keruan!
MEMBERI SEBELUM MENERIMA
Sebenarnya, prinsip yang perlu dipegang adalah kita perlu dahulu memberi sebelum menerima. Bukankah Rasulullah s.a.w. menasihatkan kita betapa mereka yang memberi itu lebih baik daripada menerima. Dan bukankah Allah mengajar kita bahawa setiap perkara kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Cuma kita yang kadangkala memekakkan telinga dan membutakan mata.
Apa kata tatkala anda perlukan duit, anda terlebih dahulu menderma seberapa banyak yang termampu. Walaupun hanya 20 sen, percayalah, ganjaran Allah pasti hadir. Dan apa kata tatkala anda kelaparan, anda terlebih dahulu memberikan sedekah kepada mereka yang lapar. Meskipun cuma seringgit, percayalah, pulangan daripada Allah pasti hadir. Yang penting, memberi sebelum menerima!
Percaya atau tidak, ramai yang tidak sedar atau pura-pura tidak sedar tentang konsep ini. Bahawasanya Allah akan memulangkan segala kebaikan yang kita lakukan dengan kebaikan yang sama atau lebih besar nilainya!
Begitulah juga dengan kegembiraan yang kita buru. Andai kata anda ingin gembira dan ceria, anda terlebih dahulu perlu menggembira dan menceriakan orang lain. Jika anda ingin bebas daripada tekanan hidup, hiburkan dahulu insan lain yang mungkin juga menghadapi tekanan hidup. Percayalah, Allah akan membalas perbuatan anda dengan mengganjari dengan apa yang anda hajatkan. Yang penting, berpegang kepada prinsip memberi sebelum menerima!
INGIN GEMBIRA?
Justeru, andai anda mahu hari ini menjadi hari yang penuh keceriaan, hiburkan setiap orang yang anda jumpa pada hari ini. Ya, cuba untuk buat mereka gembira. Anda boleh mulakan dengan senyuman dan diikuti dengan pujian. Anda juga boleh memberikan layanan yang penuh dengan adab dan hormat. Ataupun anda boleh melakukan kejutan untuk mereka dengan memberi hadiah yang mereka tidak sangka-sangka.
Percayalah, sesuatu yang positif bakal berlaku! Tak percaya? Anda mesti lakukan perkara ini terlebih dahulu!
Alhamdulillah, Abang Badr dan warga AMPAC seluruh Malaysia selalu mengamalkan prinsip ini dan menjadikan AMPAC tempat yang penuh dengan aura positif. Mana tidaknya, masing-masing berlumba-lumba untuk menggembirakan rakan-rakan dan guru. Anda sendiri boleh bayangkan suasana ceria yang tercipta. Tak percaya? Anda mesti lakukannya secepat mungkin!
Akhir kata, gembirakanlah hati insan lain. Percayalah, Yang Maha Agung akan memulangkan kegembiraan ke dalam diri anda! Ingat, pegang prinsip ini betul-betul; MEMBERI SEBELUM MENERIMA!
TIPS MENGGEMBIRAKAN ORANG LAIN
- Beri gula-gula kepada mereka yang bermasam muka. (“Semoga hari ini semanis gula-gula ini.”)
- Memuji pakaian dan penampilan. (“Warna ini cukup sepadan dengan diri awak.”)
- Memberi komen motivasi. (“Wah, hari ini awak nampak sangat bertenaga!”)
- Memberikan hadiah atau ole-ole.
- Membantu rakan meringankan kerja yang merunsingkan hatinya.
