KEYBOARD WARRIOR! Enough Is Enough!
Assalamualaikum dan salam perjuangan! Seusai menunaikan solat, Abang Badr menyelak helaian demi helaian naskhah Al-Quran. Perhatian Abang Badr tertaut dengan sepotong ayat yang sangat sarat dan padat dengan mesej. Sangat mendalam. Juga mencengkam jiwa bagi mereka yang menghayatinya.
Firman Allah dalam Surah As-Soff, 2 : “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu memperkatakan apa yang kamu sendiri tidak melakukannya!?” Dan Allah menyambung dengan memberi amaran betapa murkanya Allah terhadap mereka yang berbicara perkara yang mereka tidak lakukan.
Hari ini situasinya agak berbeza. Bukan sahaja ramai di kalangan kita yang cakap tak serupa bikin malah wujudnya satu lagi golongan yang digelar ‘Keyboard Warrior.’ Anda pernah dengar istilah ini?
Ia merujuk kepada mereka yang apabila di paparan skrin, merekalah juara namun apabila di pentas kehidupan, mereka tidak melakukan apa-apa! Ya, keterbukaan langit media sosial yang luas pada hari ini membuka kebebasan bersuara yang tidak terbatas. Dan ya, mereka ini menggunakan platform ini sebagai medan perjuangan ‘Keyboard Warrior!’
Golongan ini sebenarnya ada di mana-mana. Malah Abang Badr percaya, anda sendiri pernah berdepan dengan mereka ini di ruang maya. Dan Abang Badr harap anda tidak tergolong dalam kumpulan ini ya! Mereka ini bertindak mengikut emosi dan perasaan. Mereka tidak berbicara dengan ilmu. Mereka biarkan jari jemari mereka menari mengikut nafsu.
‘Keyboard Warrior’ seringkali menulis perkara yang mereka sendiri tidak lakukan!. Memberikan peringatan tentang solat namun mereka sendiri suka mengelat. Memberikan kebaikan berpuasa tetapi diri sendiri anggap tinggal puasa Ramadhan tidak berdosa. Memberikan tips untuk berjuang walhal diri sendiri asyik berbakti kerana wang. Mereka cukup pandai berkata-kata menerusi frasa mereka. Namun mereka jahil dalam memastikan bicara mereka terlaksana!
Adakah kemurkaan Allah yang kita sedang cari?
‘Keyboard Warrior’ sering kali membuat komentar-komentar pedas. Berbicara di ruang maya seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Setiap kali orang lain berbicara dan berkongsi rasa, ada sahaja yang tidak kena. Pasti ‘Keyboard Warrior’ ini akan menyerang bertubi-tubi dengan nasihat yang tidak beralas dan tuduhan yang tidak berasas.
Malah yang lebih teruk, golongan ini ada yang memaki hamun dan menjadikan bahasa kesat sebagai siulan di papan kekunci mereka. Adab dianak tiri, sopan santun ditolak ketepi. Yang penting, ‘Keyboard Warrior’ puas hati!
Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?
‘Keyboard Warrior’ juga acap kali bertindak umpama tin kosong. Bunyinya kuat tetapi isinya tiada! Ada sahaja nak dibicarakan di ruang maya. Paparan skrin kita akhirnya penuh dengan tulisan-tulisan mereka. Langsung tidak membawa pembacanya ke depan. Malah ada juga yang menyebabkan mereka yang membaca menjadi mundur ke belakang.
Masa mereka terbuang dengan menulis perkara yang sia-sia. Apa yang mereka mahukan, lebih ramai orang akan ‘LIKE’ laman sosial mereka. Mereka mahu popular. Biar di luar sana tiada apa manfaat yang disumbangkan, yang penting di alam maya mereka popular. Biar perkara yang mereka utarakan tak ramai yang suka, yang penting di alam maya mereka mula menempa nama.
Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?
‘Keyboard Warrior’ turut memiliki budaya suka memberi komen berbisa. Peduli apa mereka dengan apa yang kita rasa. Yang penting apa yang mereka rasa. Mereka lebih suka complaint ini dan complaint itu. Ada sahaja isu yang nak dirunguti. Ada sahaja peristiwa yang nak diperbahaskan. Ada sahaja kisah individu yang nak dibongkari.
Kata-kata mereka cukup berbahaya. Tusukan kalam-kalam mereka sangat berbisa. Molek kita hindari golongan sebegini. Takut nanti hati kita membenci dan menarik aura negatif dalam hidup ini!
Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?
Namun ada juga yang ingin bertanya, salahkah kalau saya nak berdakwah melalui laman sosial? Apa salahnya kalau saya berkongsi perkara-perkara kebaikan? Bukankah menegur itu satu tuntutan dalam melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar?
Rileks dulu. Jangan cepat melenting ye. Tak bermaksud tajuk ‘Keyboard Warrior’ ini mendesak anda untuk berhenti berdakwah menggunakan laman sosial. Maudu’ ini sebenarnya untuk memimpin kita semua menjadi berhemah dalam hidup bersosial. Malah Abang Badr sangat berbangga dengan anda semua yang kerap menggunakan kesempatan beronline di laman sosial bagi menyebarkan dakwah! Tahniah!
Cuma Abang Badr mohon kalau kita dapat jadikan ia medan dakwah yang baik.
- Apabila ada berkongsi sesuatu, pastikan anda dahulu yang mengambil mesej dan menghayati isi kandungannya. Contohnya jika anda berkongsi gambar yang berunsur tazkirah, pastikan anda memahami dan menghayati isi tazkirah tersebut. Jangan sekadar tekan butang SHARE supaya orang nampak yang anda ini baik dan suka berkongsi benda yang baik-baik sahaja.
- Apabila anda mengajak orang buat baik, pastikan anda orang yang pertama yang menyahut seruan tersebut. Buat apa yang anda cakap. Kota apa yang dikata. Meskipun anda tidak sempurna, jadikan tazkirah anda sebagai motivasi untuk berubah. Bukannya alasan untuk rebah!
- Apabila anda melihat kemungkaran di ruang maya, cari jalan yang efektif untuk menegah. Bukannya sekadar ‘menjerkah.’ Jika anda melihat komen rakan yang tampak lari dari syarak, dekati dan tegurlah rakan tersebut dengan hikmah. Biar dia berbicara dengan biadap, anda mesti terus menjadi Muslim yang beradab! Contohilah Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah. Baginda sabar dan bijak dalam berhujah.
Akhir kata, berhati-hatilah dengan apa yang kita coret di ruang maya. Mungkin kita boleh delete apa yang ditulis apabila orang mula memarahi kita. Tetapi kita masih perlu bertanggungjawab di hadapan Allah di hari muka. Hindari ‘Keyboard Warrior’ dan jadilah pejuang Islam yang sebenar!
