Islam Itu Hadiah!

Islam Itu Hadiah!

Assalamualaikum dan salam perjuangan! Abang Badr mohon kepada Allah agar kita semua dibekalkan dengan semangat juang yang tinggi dan jiwa yang berbudi pekerti. Kali ini Abang Badr ingin membawa minda dan jiwa anda semua untuk melingkari topik yang kehangatannya semakin menjadi-jadi.

Malah ada di kalangan Muslim yang menghadapi dilema ini sejak mengenal huruf rumi dan jawi lagi. Mereka terpinga dan terkedu; adakah Islam ini hadiah atau pun padah? Adakah Islam memudahkan atau menyusahkan? Adakah Islam ini lestari atau sekadar sesuai di zaman Nabi?

Baiklah, mari kita relakskan minda dan jiwa. Bayangkan anda sekarang ini sedang tidur. Nyenyak. Di atas katil yang empuk, cadarnya harum mewangi. Tidur anda seperti tidurnya seorang bayi.

Tiba-tiba apabila anda terjaga, anda dapati yang anda sedang berada di sebuah pasar malam yang sibuk dan bingit suasananya. Rupa-rupanya ayah anda menghantar anda ke tempat tersebut. Namun anda tidak pernah minta untuk ke tempat ini. Anda jadi bingung.

Mengapa aku berada di sini? Apa yang seharusnya aku lakukan?

Baru anda sedari yang ayah anda ada memberikan nota kecil di dalam saku. Senarai barang yang perlu dibeli. Juga terdapat peta, nombor yang perlu dihubungi jika kecemasan dan apa yang anda patut lakukan setelah semua pembelian selesai.

Maka anda pun bertindaklah mengikut apa yang diarahkan. Kehadiran anda di pasar malam itu akhirnya menjadi satu aktiviti yang bermanfaat. Bermanfaat untuk anda, ayah anda dan keluarga yang menunggu di rumah.

Baiklah, kita kembali kepada topik asal. Perasan atau tidak, kita tidak pernah meminta kepada Allah untuk dihidupkan di atas muka bumi ini. Allah tetap menciptakan kita. Justeru, pasti kita tertanya-tanya, “Mengapa aku berada di sini? Apa yang seharusnya aku lakukan?”

Sama seperti situasi di pasar malam tadi. Anda panik dan sedikit termangu tentang matlamat kehadiran anda. Maka Allah bekalkan Al-Quran dan Hadith untuk anda. Agar hidup anda ini akan mengikut apa yang Pencipta anda mahukan.

Andai Al-Quran dan Hadith ini digenggam erat, nescaya tidak akan kita sesat! Kerana yang dipegang bukan karangan atau nukilan insan. Yang dipegang itu adalah skrip kehidupan yang ditulis oleh Tuhan sekalian alam!

Skrip inilah yang menjadi panduan yang mesti diikuti. Abang Badr ulang, mesti diikuti! Andai skrip ini tidak dituruti, samalah seperti anda di pasar malam tanpa senarai barang daripada ayah. Anda pasti teraba-raba mencari arah. Maka mulalah anda mengikut jalan yang salah. Setiap kedai anda rasa nak singgah. Akhirnya matlamat tak tercapai, harapan punah!

Maka begitulah juga sekiranya Islam dianaktirikan. Sekadar diguna untuk soal ritual dan peribadatan. Meskipun ramai yang merancang agar mati diuruskan cara Islam, ramai juga yang melupakan untuk hidup dengan cara Islam!

Lebih malang lagi apabila Islam dicop sebagai penyebab masalah dan penambah beban kehidupan. Sedar atau tidak, ramai di luar sana yang menganggap solat itu mengganggu kehidupan mereka. Aktiviti mereka ‘terganggu’ dek kerana perlu berhenti untuk solat. Produktiviti mereka ‘terbantut’ dek kerana solat  yang kononnya mencuri masa mereka.

Ada juga yang mendengus setiap kali Ramadan bertandang. Dirasakan bahawa bulan azab sudah pun tiba. Makan tak boleh. Minum tak boleh. Malam pula terpaksa pergi tarawih. Mereka ini cukup gembira dengan pemergian Ramadan malah berdoa agar lambat lagi tibanya bulan barakah tersebut!

Masya Allah! Betapa mereka ini buta. Buta mata dan hati. Mereka sengaja membutakan mata untuk membaca skrip daripada Allah dan mematuhinya. Mereka sengaja memperlekehkan skrip Islam yang sebenarnya ditulis untuk membantu hidupnya.

Tidakkah mereka sedar bahawa solat itu bakal memimpin hati dan sel-sel tubuh mereka untuk menghindari kemungkaran? Tidakkah mereka tahu bahawa solat itu menambah kebolehan fokus dan memori? Tidakkah mereka sedar bahawa solat itu juga mampu memecahkan 10% lemak di dalam badan? Dan mereka menganggap solat itu membebankan?

Tidakkah mereka tahu bahawa puasa itu mendekatkan hati mereka dengan Pencipta? Malah mengeluarkan hormon yang menghindarkan mereka dari gundah gulana? Tidakkah mereka sedar puasa itu menjadi proses detoksifikasi yang membantu membakar lemak yang melembabkan pergerakan mereka? Dan mereka menganggap puasa itu membebankan?

Dan mereka menuduh bahawa Islam itu membebankan?

Mereka itulah sebenarnya beban kepada Islam. Mereka yang sebenarnya mengotorkan Islam yang suci ini. Mereka yang memalitkan lumpur-lumpur fitnah ke atas tubuh Islam yang bersih ini. Dan mereka ada hati untuk berkata bahawa Islam itu membebankan?

Adakah anda sebahagian daripada mereka? Nau’zubillah!

Ingatlah wahai teman sekalian. Kita hadir di dunia ini tanpa diminta. Maka perlulah kita mengikut apa sahaja yang disuruh Pencipta. Kerana hanya Dia yang tahu dan cakna. Apa yang baik untuk kita dan apa pula yang durjana. Persoalannya, apa tanggapan kita terhadap Islam? Hadiah dari Tuhan atau sistem yang membebankan? Biarkan hati dan minda anda menjawabnya!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *