Hidup Untuk Peperiksaan?

Hidup Untuk Peperiksaan?

Menjelajahi ratusan sekolah bersama puluhan ribu remaja dan kanak-kanak, bermacam-macam ragam manusia Abang Badr temui. Ada yang malas belajar, kemaruk bercinta, gian ponteng kelas, suka bodek cikgu dan seribu satu lagi masalah remaja. Cuma yang ingin Abang Badr tonjolkan pada keluaran kali ini ialah masalah mereka yang hidup untuk peperiksaan.

Mereka yang mengalami masalah ini biasanya menampakkan simptom-simptom berikut :

  1. Menganggap peperiksaan dan ujian adalah segala-galanya. Gagal peperiksaan umpama runtuhnya langit dan terbelahnya bumi.
  2. Sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan ‘A’ dalam genggaman. Tiru, menipu, meletakkan nota di dalam tandas untuk dirujuk semasa peperiksaan berlangsung, berpakat bahasa isyarat dengan kawan sebelah; antara modus operandi mereka.
  3. Setiap masa dan tika, fokus mereka hanya tertumpu kepada peperiksaan, peperiksaan dan peperiksaan! Sehingga masa makan diabaikan, masa riadah tidak diendah dan yang paling menyedihkan apabila waktu solat, mulalah cari alasan nak mengelat.

Dengan kata lain, golongan yang hidup untuk peperiksaan ini begitu percaya 100% dengan keupayaan dan usaha diri sehinggakan mereka terlupa perkara pokok yang paling penting.

Mereka lupa bahawa yang menciptakan kejayaan itu adalah Allah. Mereka lupa bahawa yang meminjam nikmat kemenangan itu adalah Allah. Dan mereka lupa bahawa yang menguji dengan kegagalan itu juga adalah Allah.

Hasilnya, golongan ini langsung tidak membina hubungan yang baik dengan Allah. Apa yang Allah suruh disanggah. Apa yang Allah larang dilanggar. Mana mungkin sikap ini mampu mengundang kejayaan yang hakiki!

Contoh, ada seorang mamat ni. Dia bekerja dengan seorang bos. Bos suruh dia lakukan sesuatu. Tapi dia tidak melakukannya. Tak cukup dengan itu, dia kerap datang lambat ke pejabat dan pulang terlalu awal ke rumah. Dan bahagian yang paling tidak patut dalam kisah ini adalah, pada hujung bulan, mamat ini meminta pada bosnya, “Bos, boleh tak naikkan gaji saya?” Jika anda adalah bosnya, adakah anda akan menunaikan ‘hajat murni’ si mamat ini? Tentunya tidak!

Bukankah Allah menyuruh kita untuk solat? Bukankah Allah menyuruh kita untuk mentadabbur Al-Quran, menghormati ibu bapa, menyayangi Rasulullah, mengelakkan fitnah dan memperbanyakkan amal kebajikan? Namun kita sehingga hari ini masih gagal melakukannya. Dan bersama kegagalan menunaikan tanggungjawab asas itu, kita melutut di atas sejadah bagi memohon agar diberikan keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan! Tak malu ke?

Solat 5 waktu pun tidak cukup, namun di bibir terkumat kamit meminta dihadiahkan straight As dalam peperiksaan! Al-Quran dibiarkan berhabuk tidak disentuh tetapi masih ada hati memohon agar cahaya bersinar memimpin kejayaan dalam peperiksaan!  Perkataan yang paling layak untuk menyifatkan tindakan ini adalah : amat tidak patut!!

Sama ada kita berhujah secara logik atau berlandaskan nas, ini merupakan tindakan yang amat tidak bijak. Jadi, perkara yang utama dan pertama kita perlu lakukan adalah, buat baik dengan pemberi kejayaan yakni Allah s.w.t. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

Itulah perkara yang paling asas. Sebelum bercakap pasal solat hajat, qiyamullail dan solat dhuha, molek kiranya kita muhasabah solat yang lima. Sebelum berbicara tentang surah-surah pilihan yang elok dibaca sebelum menghadapi ujian, molek kiranya kita muhasabah sama ada Al-Quran dipegang dan dibaca.

Kerana Allah s.w.t. dan para malaikatNya tidak akan bertanyakan tentang keputusan peperiksaan kita. Kerana Allah yang menghadiahkan keputusan kita yang cemerlang. Kerana Allah jualah yang menguji  kita dengan keputusan yang kurang memberangsangkan. Allah tidak perlu tahu keputusan tersebut.

Walaubagaimanapun, perkara yang bakal disoal adalah tentang apa yang anda lakukan dalam proses untuk cemerlang dalam peperiksaan. Solat tak? Berpuasa sunat tak? Jaga aurat tak? Kerana untuk apa pelajar menggondolkan semua A dalam mata pelajaran tetapi akhirnya tiada ‘A’ dalam jiwanya. Yakni akhlaqnya buruk, aqidahnya lemah dan semangatnya selembut lalang ditiup angin.

Jadi kita perlu balik ke jalan yang benar! Jangan terlalu obses dengan usaha untuk mencapai kejayaan sehinggakan tidak terjaga hubungan dengan pemberi kejayaan. Utamakan yang utama. Ingat kejayaan yang sebenar bukanlah berapa banyak A yang kita peroleh tetapi betapa bersungguhnya kita berusaha dalam mencapai kejayaan dan bertawakal kepada Yang Maha Esa.

Tuntasnya, buat baik dengan pemberi kejayaan. Masih ingat saat ayah atau ibu anda membeli basikal untuk anda? Apa yang anda lakukan sebelum ayah membeli basikal tersebut? Ya, anda buat baik terhadap ayah. Kerap memuji dan melakukan apa yang ayah suruh. Dan apa pula yang anda lakukan selepas ayah membeli basikal tersebut? Ya, ucapan terima kasih anda berikan bersama senyuman kegembiraan. Anda kemudiannya seronok bermain basikal dan juga semakin mudah untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.

Dan hari ini anda inginkan sesuatu yang besar yakni kejayaan dalam peperiksaan. Dan kejayaan ini adalah atas kurniaan Allah kepada hambaNya yang berusaha. Apa kata sebelum anda memperoleh kejayaan tersebut, anda buat baik terhadap Allah. Puji Allah melalui solat yang khusyuk. Senyum kepada Allah dengan membasahkan bibir dengan zikir. Jernihkan hubungan dengan Allah dengan menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar maaruf & nahi mungkar).

Dan apabila kejayaan sudah diperoleh, rafakkan kesyukuran anda setinggi-tingginya. Keseronokan yang dikecapi dibayar dengan amal ibadat yang semakin berkualiti. Jangan berhenti berbuat baik kepada Allah. Dan insyaAllah, kejayaan yang Allah kurniakan itu bakal mewarnai masa depan anda dengan kehidupan yang lebih bahagia.

Akhir kata, kita juga perlu sedar sedalam-dalamnya bahawa peperiksaan yang terpenting adalah peperiksaan  yang bakal dihadapi oleh setiap manusia tatkala berdepan dengan Allah selepas hayat meninggalkan badan. Semua orang sudahpun tahu soalan-soalan yang bakal ditanya di dalam kubur kelak. Tetapi tidak semua orang bersedia untuk ‘menduduki peperiksaan’ tersebut dengan jayanya.

Semua orang juga tahu tentang peperiksaan di Padang Mahsyar. Perhitungan amalan akan dilakukan dan keputusan sama ada ke syurga atau neraka akan diumumkan. Tetapi betapa ramainya manusia hari ini yang terus leka dan lalai serta langsung tidak bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan penting tersebut.

Tanyalah diri anda sendiri. Adakah anda hidup untuk peperiksaan? Dan jawapan akan tetap YA. Cuma sekurang-kurangnya hari ini anda sedar, bukan peperiksaan akademik yang terpenting. Bahkan peperiksaan yang terpenting itu anda sepatutnya sudah lama bersedia. Tetapi tidak mengapa. Lebih sedar sekarang daripada langsung tidak sedarkan diri. Jom kita bersedia untuk menghadapi ujian terbesar hidup ini. Jom kita bersedia untuk menduduki peperiksaan terpenting di alam ini. Jom kita skor A dalam peperiksaan sebenar!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *