IBU BAPA : Sentuhan Ajaib

Sentuhan Ajaib

Assalamualaikum. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah yang telah memberi sebaik-baik nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW serta keluarga dan para sahabat.  Didoakan semuanya yang membaca penulisan ini mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT. Insya Allah.

IMG_6345

Penulisan hari ini adalah tentang sentuhan dan kasih sayang di antara ibu bapa dengan anak-anak. Seringkali kita dengar ibu bapa merungut tentang anak-anak terutama yang remaja, antaranya ialah :

“Anak saya tak nak dengar cakap saya.”

“Anak saya dah tak rapat macam kecil-kecil dulu.”

“Anak saya balik sekolah je terus berkurung dalam bilik. Keluar untuk makan je.”

Agak-agaknya kenapa ya anak-anak sekarang majoritinya kurang cengkaman emosinya dengan ibu bapa? Sebagai ibu bapa ada tak kita terfikir kenapa anak-anak dah tak mahu berbual dengan kita? Sampaikan nak makan pun perlu dipanggil. Nak mintak tolong kemaskan rumah perlu disuruh.

Mana hilangnya kasih sayang?

Anak-anak hilang kepekaan dengan dunia realiti sebenar dan hanyut dalam dunia rekaan yang dihasilkan oleh manusia. Albert Einstein pernah berkata “I fear the day that technology will surpass our human interaction. The world will have a generation of idiots” yang bermaksud “ Aku takut satu hari nanti di mana teknologi akan melangkaui interaksi sesama manusia. Dunia ini akan ada generasi yang bodoh.”. Lihat sajalah dimana-mana yang kita pergi, semua kepala tunduk ke bawah menatap smartphone sambil scroll facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya. Interaksi sebeginilah yang semakin lama semakin menjadi norma dalam masyarakat kita dan manusia tidak lagi memerlukan manusia yang lain untuk memenuhi keperluan emosi diri.

Ibu bapa sudah berhabis banyak wang demi kesenangan anak-anak. Sediakan makanan yang berkhasiat dan sedap-sedap, pakaian dan pendidikan yang terbaik, tempat tinggal yang aman dan selesa. Tapi kadang-kadang kita terlupa perkara yang paling asas yang perlu diberi kepada anak-anak iaitu kasih sayang. Kita cenderung menunjukkan kasih sayang dengan material. Kita terlepas pandang yang paling mudah dan utama adalah dengan ikatan kekeluargaan, rasa mesra dengan anak-anak, sentuhan dan belaian serta dorongan, nasihat dan kata-kata semangat.

Anak-anak lebih suka menghabiskan masa dengan gajet daripada bermain bersama kawan-kawan dan keluarga. Tidak lekang matanya memandang smartphone berbanding memandang ibu bapa. Bergelak ketawa melihat rancangan kartun di televisyen tetapi tidak dengan ibu bapa. Ya, teknologi itu perlu. Ianya memudahkan kehidupan seharian kita. Tetapi andai teknologi itu memusnahkan ikatan emosi kita dengan keluarga, apa gunanya kita bersusah payah membanting tulang mengumpul wang demi sebuah impian membina keluarga harmoni? Tidak perlu salahkan teknologi, habis tu mahu salahkan siapa?

Ajaibnya sentuhan

Tahukah anda bahawa apabila manusia saling berpegangan tangan dan memeluk satu sama lain badan akan menghasilkan hormon oxytocin? Hormon oxytocin merupakan hormon yang mewujudkan rasa ikatan hubungan kebersamaan dan saling mempercayai antara manusia bermulanya dari saat bayi lahir dan mula berinteraksi dengan ibu. Oxytocin dilepaskan apabila kita menyentuh, membelai atau memegang satu sama lain. Hormon inilah yang menyebabkan rasa kasih sayang manusia itu bertambah.

Anak-anak yang dibelai dengan kasih sayang membesar menjadi anak yang berjaya yang kuat emosinya, semangat jati diri yang kuat dan tidak mudah menyerah. Sebaliknya pula berlaku pada anak-anak yang kurang ikatan dengan ibu bapa. Mereka cenderung membesar menjadi anak yang bermasalah, murung dan mencari sumber lain yang tidak elok untuk memenuhi kelompongan yang dirasai. Sebab itu wujudnya ungkapan ‘kurang kasih sayang’ kepada anak-anak bermasalah kerana kurangnya attachment anak itu dengan ibu bapa.

Sentuhan menjalin kemesraan

Jikalau dengan anak kecil kita boleh bersayang-sayang apa salahnya dengan anak yang sudah remaja juga kita masih meluangkan masa dengan mereka dengan berborak, makan bersama, peluk dan berilah pujian apabila mereka melakukan sesuatu yang bagus. Anak-anak remajalah yang lebih memerlukan lebih perhatian kerana usia remaja adalah peringkat peralihan dari peringkat kanak-kanak kepada peringkat dewasa. Mereka akan belajar banyak perkara tentang kehidupan dan akan menentukan apa dan siapa yang mereka akan jadi pada masa hadapan. Sayangilah dan bimbinglah mereka agar mereka tidak menjadi penyebab kepda kemusnahan diri mereka sendiri.

Dengan sentuhan terjalin kemesraan. Jadi marilah sama-sama kita pupukkan nilai kasih sayang dalam keluarga dalam membina keluarga yang harmonis sesuai dengan syariat Islam. Semoga kita dan keluarga kita sentiasa berada dalam lingkungan kasih sayang Allah. Insya Allah.

Mari sebarkan kasih sayang!

Dikongsi dengan penuh kasih sayang oleh,

CIK SAKINAH
Pembantu AMPACoach

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *