Biodata

ampacoach-badr-new-copy

Tuan Haji Ahmad Badrul Sani bin Baharudin dilahirkan pada tanggal 25hb Februari 1983 di Pulau Pinang. Mendapat pendidikan awal di SK Seberang Jaya II dan SMKA Al-Irshad Pulau Pinang, beliau melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan undang-undang.

Beliau mula berkecimpung sebagai motivator sejak berusia 17 tahun selepas menjuarai Pertandingan Syarahan Peringkat Kebangsaan. Berbekalkan secebis pengalaman dan kemahiran, beliau kini berjuang dalam membangunkan modal insan di seluruh negara. Dari melatih pelajar sekolah rendah sehinggalah C.E.O. syarikat terkemuka, Saudara Badrul Sani melakar kecemerlangannya tersendiri dengan memimpin masyarakat dalam menguasai  seni berbicara, teknik belajar dan kepimpinan.

BERSAMA DR. ZAKIR NAIK DALAM PERSEPSI, TV ALHIJRAH.

Beliau juga popular dengan tulisannya yang kini memenuhi rak-rak jualan di kedai-kedai buku utama negara. BIJAK BERBICARA MENCUIT RASA merupakan buku sulungnya yang telah berjasa kepada ribuan pembaca dalam memahami dan mempraktikkan seni bicara yang cemerlang.

Juga dengan bukunya yang terbaru, Brilliant Students : From Zero to Hero!,Saudara Badrul Sani melakar sebuah lagi sejarah dalam bidang motivasi dengan menukil hasil karya yang bisa mengesan jiwa dan motivasi pembaca. Sebuah komik, novel dan buku motivasi yang digabungkan dalam satu naskhah!! Selain itu, beliau turut menghasilkan buku Langkah Bijak Komunikator Hebat dan Coretan Pembicara Gemilang dengan pendekatan yang cukup berbeza dan berkesan!

Saudara Badrul Sani juga menghasilkan produk-produk ilmiah yang lain seperti e-book, booklet dan VCD yang membimbing semua lapisan masyarakat dalam mencorakkan kejayaan dalam hidup mereka.

Pernah dilantik menjadi jurulatih pidato rancangan realiti Adik-Adikku musim kedua dan ketiga serta dilantik menjadi juri pada musim keempat, Saudara Badrul Sani juga bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membantu generasi muda mencapai potensi sebenar.

Saudara Badrul Sani juga pernah dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai jurulatih dalam seni komunikasi dan pidato. Beliau turut dijemput sebagai jurulatih untuk latihan pidato dan forum bagi sekolah-sekolah di Malaysia dan juga jabatan-jabatan kerajaan.

Beliau juga sering diundang untuk mengendalikan majlis raksasa seperti Rapat Umum Selamatkan Gaza di Stadium Malawati Shah Alam 2009, Stadium Seksyen 15 Bandar Baru Bangi 2009 dan Stadium Tertutup Nilai 2014. Beliau juga memberikan latihan kepada pegawai-pegawai kerajaan dan ahli-ahli korporat di seluruh negara. Antaranya memberikan ceramah kerohanian dan motivasi kepada Pegawai Tadbir Diplomat di INTAN, Bukit Kiara, para pegawai kerajaan di Jabatan Perkhidmatan Awam dan berkongsi tips dan panduan bersama para guru, kaunselor dan guru besar dari seluruh negara!

Wajah dan cerita beliau juga pernah dipaparkan di dada-dada akhbar.

Dan beliau juga menggunakan kesempatan yang ada untuk mencurahkan khidmat menerusi Majalah Gen-Q, laman blog dan juga akhbar bagi berkongsi kaedah untuk berjaya dalam pelbagai aspek.

Pernah muncul di kaca TV1, TV3, ASTRO OASIS, TV9 & BERNAMA TV, beliau kini merupakan Personaliti TV Alhijrah dan mengemudi rancangan bual bicara terkenal, PERSEPSI.

Saudara Badrul Sani begitu digemari kerana sikapnya yang selamba, santai dan sempoi. Beliau mampu membuatkan audiens ketawa dan menangis. Beliau mampu membuatkan audiens bermotivasi, terinspirasi dan bersemangat untuk berubah dengan izin Allah. Satu anugerah untuk membangunkan potensi ummah. Sejak Januari 2007 sehingga Disember 2016 ini, seramai 65,000 orang telah menyertai seminar/program dan menerima sentuhan motivasi beliau tanpa mengira batasan umur, bangsa dan agama!