Malas. Atasi Sebelum Lemas!

Malas. Atasi Sebelum Lemas!

 

Kali ini Abang Badr akan bawa anda semua menyusuri pengalaman Abang Badr bersama para pelajar sekolah menengah dan IPT dalam Seminar ‘Brilliant Students.’  Setakat ini sudah ratusan seminar dikendalikan bersama puluhan ribu peserta. Bertempat di sekolah yang berlainan, dijemput oleh guru yang berlainan, beraksi di pentas yang berlainan dan berdepan dengan pelajar yang berlainan. Tetapi ajaibnya, semua kelainan ini langsung tiada bezanya apabila bercakap tentang satu masalah yang tidak lain tidak bukan iaitu malas. Ya, MALAS!

Apabila Abang Badr kaji, hampir 80% pelajar di setiap institusi pendidikan yang Abang Badr jelajahi menghadapi penyakit popular ini. Malas baca buku. Malas ulangkaji. Malas pergi sekolah. Malas pergi tuisyen. Dan ada yang sampai nak beritahu yang dia mempunyai sifat malas pun malas! Dahsyat kan? Rasanya kalau dibenarkan ambil peperiksaan atas katil di rumah, pasti ramai yang pilih untuk buat macam tu.

Jadi Abang Badr harap sangat bagi anda yang sedang membaca artikel ini, jangan malas untuk habiskannya. Abang Badr tak hairan kalau anda juga mempunyai sifat ini. Ketahuilah bahawasanya yang anda tidak keseorangan. Hehe. Cuma Abang Badr risau jika sifat ini terus subur dalam jiwa dan diri kita semua. Kerana malas bukan sekadar melambatkan kerja-kerja anda disiapkan, malah ia bakal menjadi barah yang merosakkan masa depan! Wooo…takutnya dengar!

Baiklah, dalam setiap seminar, Abang Badr tidak akan terlepas untuk menekankan betapa dalam meniti kejayaan, usaha dan ikhtiar adalah elemen yang amat penting.  Tetapi ada juga peserta yang lebih tinggi darjatnya daripada ulama tafsir yang mengatakan, “ala… Masa depan saya, jodoh pertemuan, hidup dan mati di tangan Tuhan. Rilekslah! Sekarang ni masih remaja. Kita enjoy dulu! Allah dah atur semua…”

Hebatkan? Hehe. Mereka menggunakan kefahaman cetek tentang agama untuk menjustifikasikan tindakan malas mereka. Sedangkan Allah sudah pun menjelaskan bahawa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah sesuatu kaum itu mengubah nasib mereka sendiri! Tawakkal bukannya bermaksud serahkan segala-galanya kepada Allah tanpa usaha!  Tawakkal juga bukan bererti merenung langit sambil menantikan bulan jatuh ke riba!

Kita semua perlu faham tentang sunnatullah (ketetapan Allah) yang telah menetapkan barang siapa yang rajin berusaha, dia akan berjaya. Dan sunnatullah juga telah menetapkan bahawa mereka yang malas berusaha tidak layak untuk merangkul kejayaan. Maka apa sebabnya kita perlu malas jika keinginan di hati kerap menjerit mahukan kejayaan?!

Dalam seminar Abang Badr juga, para peserta akan diberikan dua pilihan : Malas sekarang atau rajin sekarang. Pilihan pertama menjanjikan kehidupan remaja yang menyeronokkan. Waktu muda inilah masa untuk berseronok. Masa untuk mencuba sesuatu yang baru. Masa untuk main games dan online internet sampai mual. Dan masa untuk bersosial dengan rakan-rakan! Usah dipedulikan bab buku, belajar dan guru. Persetankan hal-hal ilmiah dan perihal peperiksaan. Yang penting kita enjoy!

Cuma yang kurang menariknya adalah, apabila kita semakin meningkat usia dan pemikiran kita semakin matang, kita akan mula menyesal dengan apa yang telah kita lakukan. Dengan keputusan peperiksaan yang menjengkelkan, ilmu dunia yang amat cetek dan ilmu akhirat yang langsung tidak bertumbuh di dada, kita akan mula teraba-raba membina kehidupan. Kerjaya entah ke mana. Profesion hanya tinggal angan-angan. Akhirnya, bermula saat itu hingga akhir hayat, kita sudah tiada masa lagi untuk malas. Yang pasti, kita terpaksa bekerja keras sehingga kali terakhir menghembuskan nafas!

Namun andai pilihan kedua yang kita ambil, iaitu rajin sekarang, semuanya bakal berubah menjadi terang. Apa salahnya kita rajin sekarang? Sekarang umur kita masih muda. Otak kita segar bugar dan bersedia untuk mencerap ilmu! Badan kita sihat dan cergas! Tidak berpenyakit! Tanggungjawab pula masih sedikit. Kita belum perlu keluar mencari nafkah untuk keluarga. Malah bab duit, ibu ayah yang menjaga. Tugas kita hanya belajar, mendalami ilmu dan menguasai kemahiran!

Dan percayalah andai anda rajin sekarang, usaha ini akan dibayar oleh Allah dengan kejayaan. Asalkan usaha kita ini ikhlas untuk Allah, masa depan anda akan terjamin. Dan yang menariknya, dewasa kelak, anda akan ada masa untuk bermalas-malasan dengan orang yang tersayang! Jadi apa kata kita rajin sekarang?! Kan? Kan? Kan?

Apa-apa pun, masa depan anda di tangan anda. Abang Badr sekadar berkongsi perspektif, berkongsi perancangan masa depan. Tapi akhirnya anda sendiri yang menentukan apa pilihan anda. Jangan lupa tentang fitrah alam. Man jadda wa jada. Siapa berusaha, dia yang mendapat hasilnya.

Tadah tangan dan tundukkan hati. Pohon kepada Allah agar dilindungi daripada sifat hina ini. Sifat malas ini yang selama ini membunuh potensi Muslim di seluruh dunia termasuk negara kita Malaysia. Kita terlalu berasa selesa dengan apa yang ada tanpa melihat di sebalik tembok masa depan yang menjanjikan ujian dan pancaroba.

Bayangkan dek kerana sifat malas, seorang lelaki Muslim yang sepatutnya berani dan gagah berubah menjadi seorang yang lemah, penakut dan obes. Bayangkan juga akibat malas, seorang gadis Muslimah yang sepatutnya menguasai ilmu rumah tangga seperti memasak akhirnya menjadi seorang wanita yang sekadar membeli dan tidak bijak mengambil hati suami. Institusi demi institusi roboh.  Meskipun sifat malas ini nampaknya agak menjurus kepada peribadi, tetapi sebenarnya ia mampun merosakkan ummah dan pertiwi!

InsyaAllah, pada keluaran yang akan datang, Abang Badr akan kongsikan apa yang patut kita lakukan untuk mengatasi sifat malas sebelum ia terus berakar dalam sikap kita. Abang Badr percaya, sebelum kita cakap tentang mengubah dunia, memantapkan negara, memperkasakan bangsa dan mempertahankan agama, sifat malas ini perlu diperangi habis-habisan! Jom kita jihad. Jihad melawan nafsu! Atasi malas sebelum kita tewas!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *