Inspirasi : Anekdot ‘Spiritual Journey’ Episod 2

Ayat popular kursus umrah : “ALLAH tidak menjemput mereka yang mampu tetapi ALLAH MEMAMPUKAN mereka yang Dia jemput.”
.
.
Dalam penerbangan ke Madinah, aku berbual panjang denganAbang Man. Agak terlalu peribadi untuk aku ceritakan semuanya. Cukuplah aku simpulkan bahawa Abang Man ni seorang ‘fighter’ yang pernah berada di bawah. Kemudian diizinkan Allah untuk bangkit dan berubah.
.
.
Kisahnya pernah mengutip tin dan kotak bersama anak sulungnya satu ketika dulu, cukup membuatkan mataku tak berkedip mendengar. Kuat sungguh Abang Man sekeluarga. Hari ini, Abang Man dapat bawa isteri dan 4 orang anaknya menunaikan umrah. Seronok melihat mereka sekeluarga. Dengan 3 orang hero dan seorang heroin, memang ceria semuanya.
.
.
Antara rahsia yang aku dapat cungkil adalah LAKUKAN SESUATU UNTUK REDHA ALLAH. Bukan pengiktirafan manusia. Dan usah terlalu beriya nak mengubah pemikiran manusia kalau dia sendiri tidak mahu berubah. Sampaikan APA yang patut dengan CARA yang patut.
.
.
Yang kelakarnya, Abang Man asyik dok sebut beruntungnya dia dapat duduk sebelah ku atas kapal terbang. Rasa macam VIP katanya.
.
.
Sedangkan dalam hati, aku yang rasa beruntung duduk di sebelahnya. Dapat belajar banyak perkara. Terinspirasi untuk terus menginspirasi.
.
.
Dan tercetus jugak dalam hati yang Abang Man sekeluarga akan dilayan bak VIP oleh Allah di Tanah Haram nanti. Moga aku dapat tumpang sekaki layanan istimewa itu. Allah takkan persiakan hambaNya yang soleh. Yang hadir dengan hati yang bersih dan berserah kepadaNya.
.
.
Selepas dua-dua dah tak larat berbual, aku duduk berfikir. Betul lah ayat popular itu :
“ALLAH tidak menjemput mereka yang mampu tetapi ALLAH MEMAMPUKAN mereka yang Dia jemput.”
.
.
Kalau ikut logik, anak-anak Abang Man bukannya ada duit untuk buat umrah. Tapi oleh kerana Allah mahu menjemput mereka, maka Allah memampukan menerusi ayah dan ibunya.
.
.
Aku termenung. Ada terdetik rasa bersalah. Selama ini kita rasa kita bekerja untuk cari duit agar digunakan untuk anak. Kita rasa kita yang bagi rezeki kepada si kecil itu. Sedangkan yang sebaliknya sedang berlaku.
.
.
Rezeki kita hari ini adalah gabungan rezeki anak-anak kita bersama. Mungkin juga bisnes kita menjadi, kerjaya kita meninggi, duit masuk tak berhenti bukan kerana hebatnya strategi. Tetapi semua itu dalam senarai anak-anak punya rezeki. Dan kita menjadi saluran untuk rezeki itu dicurahkan kepada hambaNya.
.
.
Maka janganlah sombong wahai hamba Allah. Ingatkanlah hati dan mindamu bahawa Allah yang memberikan dan mengurniakan nikmat kepada mu. Usahamu yang kononnya hebat itu tak ke mana seandainya tidak diiringi izin Tuhanmu.
.
.

Ar-Razzaq senantiasa memberi rezeki kepada hamba-hambaNya. Cuma hamba-hambaNya yang jarang mendongak mengucap syukur. Malah ramai juga yang jarang menunduk akur dan kekok untuk sujud sambil mengalir air mata. Ok ni dah masuk bab lain dah ni. Apapun kita bersyukur ye.
.
.
Bagi yang belum menjejakkan kaki ke tanah suci, berdoalah agar dijemput oleh Allah. Bab duit, pakej, tiket kapal terbang dan lain-lain tolak ke tepi dulu. Jangan bimbang bab tu lagi. Sebab…
.
.
“ALLAH tidak menjemput mereka yang mampu tetapi ALLAH MEMAMPUKAN mereka yang Dia jemput.”
.
.
#AbgBadr
#AnekdotSpiritualJourney
Madinah, Kami Mendekati!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *