Inspirasi : Anekdot ‘Spiritual Journey’ Episod 1
“Whoaaa… Tengok tu! ADA LANGIT!”
.
.
Aku tersenyum mendengar suara ini.
Aku tak pasti sama ada suara itu milik Affiq, Faidh atau Thaqif.
.
.
Penuh riang dan tidak dapat disembunyikan keterujaannya.
.
.
Ini kali pertama putera-putera Tuan Rashman dan Puan Eyfa menaiki kapal terbang. Memang lain perasaannya. Aku cuba untuk mendalami perasaan mereka dengan mengingat semula pengalaman pertamaku di udara. Memang mengasyikkan. Takjub. Taksub. Terkejut. Kagum. Semua ada.
.
.
Tiba-tiba aku termangu seketika. Mengingatkan semula ayat tadi, “Whoaaa… Tengok tu! ADA LANGIT!”
.
.
Kalau nak diikutkan, bukankah itu sesuatu yang biasa. Langit. Tambahan pula, kami sedang menaiki kapal terbang. Pastinya langit kelihatan sangat jelas.
.
.
Namun ayat itu membuatkan hatiku tiba-tiba tersentak.
.
1. Betapa aku dan sebahagian besar manusia hari ini terlalu mengambil mudah perkara yang besar. Memandang rendah perkara yang tinggi.
.
2. Betapa kita hari ini ‘take for granted’ dengan apa yang ada di sekeliling kita pada hari ini. Perkara luar biasa pun jadi biasa-biasa.
.
3. Betapa kita tidak memandang nikmat sebagai nikmat, tidak menghargai ciptaan Allah Yang Maha Agung hingga bisa digelar sombong. Bukan kata merenung kejadian alam, menjelingnya pun tidak.
.
.
Langit memang wujud sejak sekian lama. Namun ini bukan tiket untuk aku terus lama tidak bersyukur dan melihatnya dengan mata seorang hamba.
.
.
Bila kali terakhir kita takjub melihat langit? Mungkin sudah lama atau tidak pernah langsung. Sehingga kewujudan langit dianggap biasa, ‘nothing special’ dan ‘dah memang sepatutnya ada’.
.
.
Hilang rasa takjub terhadap kekuasaan Allah. Hilang rasa kagum dengan kebijaksanaan Allah. Hilang rasa teruja terhadap kurniaan Allah. Kerana kita sering ‘take for granted’ atau menganggap perkara biasa dilihat sebagai sesuatu yang biasa. Sedangkan ia ciptaan yang LUAR BIASA.
.
.
Aku menarik nafas panjang. Terdetik rasa syukur kerana dijentik untuk bermuhasabah diri ketika perjalanan ke tanah suci ini baru bermula. Ya, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Madinah kali ini cukup bahagia dan membahagiakan.
.
.
Spiritual Journey ; PELENGKAP DUNIAWI & UKHRAWI adalah tema program kali ini. Aku bersama pasukan Ayaq World dan beberapa lagi founder bisnes bersama-sama mengerjakan umrah. Dan aku diamanahkan untuk mengisi pengembaraan ini dengan ilmu yang tak seberapa demi menjadikan pasukan ini semakin cemerlang. Menjadikan perniagaan selama ini bangkit sebagai sebuah perjuangan.
.
.
Dan ayat teruja seorang kanak-kanak lelaki yang berbunyi “Whoaaa… Tengok tu! ADA LANGIT!” menjadi mukadimah yang cukup cantik untuk ku. Reset semula minda dan jiwa. Agar tidak hilang rasa pesona dengan Allah dan penciptaanNya.
.
.
Risau juga oleh kerana ini bukan kali pertama aku ke tanah suci, takut hilang rasa teruja dan pudar kegembiraan tatkala tiba di sana. Aku takut kes melihat langit tanpa rasa takjub akan berlaku semula apabila aku bertandang ke rumah Allah.
.
.
Maka sepanjang perjalanan aku acap kali berdoa agar mata hati ku ini terbuka luas untuk melihat segala yang hadir dalam hidup ini sebagai nikmat Allah. Tanda kasih dan sayangnya Allah kepadaku. Bukti kasih dan sayang Ar-Rahman. Tanda pemurahnya Ar-Rahim. Simbol kecintaan Al-Wadud.
.
.
“Whoaaa… Tengok tu! ADA LANGIT!” merupakan ayat yang ringkas dan pendek. Namun ia menjadi pembuka tirai SPIRITUAL JOURNEY ku. Pelengkap Duniawi dan Ukhrawi.
.
.
#AnekdotSpiritualJourney
#AbgBadr
Perjalanan Baru Bermula