5 PERKARA DIBENCI AUDIENS

Tahukah anda, tatkala anda berbicara di hadapan orang ramai, ada beberapa perkara yang anda mesti perhatikan agar tidak berlaku semasa bicara anda disampaikan! Jika tidak dijaga, dikhuatiri anda mencipta ‘haters’ sepanjang bicara anda!

Saya kongsikan 5 perkara yang dibenci audiens!

PERKARA 1 : TIADA MATLAMAT JELAS

Audiens cukup anti mereka yang bercakap terawang-awang, berpusing-pusing, dan akhirnya tidak jelas apa yang cuba disampaikan! Audiens tidak suka mereka yang mencuri masa audiens dengan perkara yang tidak memberi manfaat.

Letakkan matlamat dan sasaran anda sebelum berbicara. Jika tiada matlamat khusus, lebih baik diam sahaja!

 

PERKARA 2 : TIDAK KENAL AUDIENS

Bukanlah bermaksud audiens mahu anda kenal mereka seorang demi seorang. Bukan juga bermaksud anda perlu menghafal nama-nama ratusan orang di hadapan anda.

Tetapi sekurang-kurangnya lakukan sedikit kaji selidik tentang audiens anda. Latar belakang mereka. Umur, kerjaya dan apa yang mereka mahukan.

Ingat, orang yang bijak berbicara bukan mereka yang tahu bercakap tetapi mereka yang tahu apa yang perlu mereka cakap!

 

PERKARA 3 : TERPERANGKAP DENGAN POWERPOINT

Audiens akan cepat bosan apabila anda sangat terikat dengan slides anda. Tambahan pula, slides anda penuh dengan ayat-ayat yang panjang-panjang dan padat dengan isi-isi penting yang terlalu details.

Pilihan font yang salah, penggunaan warna latar yang tidak sesuai dan kewujudan animasi yang tidak membantu adalah kesilapan-kesilapan popular yang kerap dilakukan oleh mereka yang jahil berbicara.

Ingat, powerpoint berfungsi untuk membantu menjadi point anda power. Bukan menyerap kuasa dan kredibiliti anda semasa berbicara!

 

PERKARA 4 : NADA SUARA SENADA

Audiens bukan sekadar bosan malah mengantuk jika anda berbicara dengan suara yang mendatar. Intonasi yang tiada turun naik, tiada cepat perlahan dan tiada kepelbagaian ini mengundang rasa tidak senang duduk audiens.

Jangan terkejut jika ada audiens yang tertidur apabila anda berbicara dengan cara sebegini.

 

PERKARA 5 : TIDAK MENGHORMATI MASA

Bukan sahaja audiens bencikan anda yang tidak memulakan bicara tepat pada waktunya, malah mereka juga tidak suka anda berbicara lebih daripada masa yang ditetapkan! Maka hormatilah masa.

Untuk lebih memahami, cuba letakkan diri anda di tempat mereka. Anda pasti akan lebih prihatin. Jika mereka belum makan, belum solat atau sudah terlalu lewat malam, anda pasti dapat merasainya dan insyaAllah masa anda akan lebih terjaga!

 

Persoalannya, mahukah anda dibenci audiens? PASTI TIDAK! Jauhi 5 perkara ini! Boleh?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *