CUTI SEKOLAH … Atau SEKOLAH CUTI?

Tajuk Abang Badr kali ini sangat ringan perkongsiannya tetapi cukup berat dari sudut impaknya. Ya, cuti sekolah. Juga termasuk dalam topik ini adalah cuti semester universiti. Ia merupakan saat yang ditunggu oleh semua orang. Selain pelajar yang cukup teruja dengan cuti, golongan guru, pensyarah, pihak pentadbiran sekolah, syarikat pelancongan, pengusaha kem motivasi, pengusaha hotel dan pelbagai lagi  turut sama menantikannya! Bayangkan betapa besarnya impak cuti ini sehinggakan pakej umrah pun naik harganya dan tempahan hotel pun melonjak sesak.

Tapi ramai pelajar yang mengeluh di akhir cuti. Bermasam muka ketika hari pertama sekolah dibuka. Muram ketika kuliah bermula. Mana tidaknya, cuti dirasakan tidak puas. Tiada apa yang berlaku melainkan di saat-saat akhir cuti barulah keseronokan itu timbul. Namun terlalu sebentar kerana perlu masuk semula belajar. Kenapa jadi begini? Semuanya kerana anda tidak  menjadikan cuti sebagai momen indah untuk diri. Mari Abang Badr kongsikan bagaimana untuk bercuti!

LANGKAH 1 : PERUNTUKAN MASA  BEREHAT

Ramai di kalangan kita yang melihat cuti adalah masa untuk berehat. Ya, tidak salah. Ia memang masa untuk minda dan jiwa mengatur nafas semula. Malah badan juga ada haknya.

Kesilapan besar yang acap kali merosakkan cuti adalah apabila anda terlalu berehat sehinggakan masa yang panjang akhirnya dipendekkan dengan dengkuran. Untuk mengatasi masalah ini, anda mesti memutuskan satu perkara yang sangat penting. Dan perkara ini mesti diputuskan sehari sebelum cuti bermula; “Berapa harikah akan diperuntukkan untuk berehat semata-mata berehat?”

Maknanya berapa harikah yang anda sanggup untuk rehat, duduk dan baring di rumah tanpa membuat apa-apa perkara berfaedah. Katakanlah anda mahu 5 hari (wah, lama tu!), maka 5 hari itu anda berehatlah sepuas-puasnya. Buatlah apa yang anda rasakan  dikategorikan sebagai rehat selagi syariat tidak dilanggar. Percayalah, anda akan mula muak dan bosan pada hari yang kelima.

Impaknya, anda  hanya  akan menggunakan 5 hari tersebut sebagai hari yang anda berehat serehat-rehatnya. Ya, cuma 5 hari daripada 40 hari anda bercuti!  Jika tidak diaplikasikan teknik ini, sedar tidak sedar, anda mungkin akan merosakkan setengah daripada jumlah hari bercuti anda dengan melepak dan berbaring tanpa  tujuan.

Teknik peruntukan masa berehat ini insyaAllah  berjaya menjimatkan masa anda daripada terbuang sia-sia dan mampu juga membolehkan anda berehat sepuas-puasnya! Rehat sehingga anda terasa bosan berehat! Tapi ingat, jangan lama-lama sangat ye. Memadailah dengan maksimum selama 5 hari.

 

LANGKAH KEDUA : MISI KETIKA BERCUTI

Ya, inilah yang membezakan remaja Muslim hebat dengan mereka yang biasa-biasa. Remaja Muslim yang hebat sentiasa mencari peluang untuk meluaskan pengalaman dan menceduk ilmu pengetahuan. Maka tempoh bercuti ini juga dilihat sebagai saat perburuan ilmu yang sungguh menggiurkan!

Apa yang perlu dilakukan adalah anda mesti membuat perancangan untuk cuti ini. Ya, merancang dan menampakkan apakah misi yang ingin anda capai sepanjang cuti sekolah atau cuti semester ini. Sebagai seorang jurulatih profesional, Abang Badr kerap mengendalikan program cuti sekolah dan memupuk sifat merancang dengan berkesan untuk remaja. Alhamdulillah, teknik ini menyebabkan ibu bapa dan guru terkesima melihat perubahan anak tatkala sesi persekolahan bermula!

Semuanya kerana anda memiliki ‘Misi Ketika Bercuti.’ Ada yang mahu mencapai misinya untuk menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram. Ada yang mahu menghafal lima surah pilihan. Ada yang mahu belajar memandu. Ada yang ingin mengatasi perasaan malu untuk memberi pengucapan awam. Ada juga yang berrminat untuk menguasai bahasa Inggeris dan Arab. Dan ada yang teruja untuk menambah ilmu perbandingan agama.

Apa yang penting, anda mesti ada misi dan perancangan rapi. Dan ingat, semua ini seeloknya tersedia sebelum cuti bermula. Barulah semangat anda membara dan setiap langkah dapat dijaga.

Justeru, ambil pen dan kertas. Tulislah dengan jelas apa yang anda mahukan. Andai anda bercuti selama 2 bulan, ini bermakna anda memiliki lebih kurang 60 hari atau 1440 jam atau 86,400 minit untuk diuruskan. Bayangkan tanpa perancangan atau ‘Misi Ketika Bercuti,’ detik-detik itu akan berlalu tanpa apa-apa perkara menarik berlaku! Anda sekadar menjadi anda yang dahulu. Oh, sungguh kasihan!

 

LANGKAH KETIGA :  PELAKSANAAN MISI YANG INTENSIF

Setelah ‘Misi Ketika Bercuti’ sudah jelas terpampang, kini tiba masanya untuk melaksanakan perkara-perkara yang membolehkan misi itu tercapai. Cuma Abang Badr nasihatkan awal-awal agar anda melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Ya, dengan sepenuh hati!

Setiap kali anda lakukan sesuatu misi, pasanglah niat yang betul dan berfikirlah bahawa aku lakukan ini untuk satu tempoh yang pendek sahaja. Maka aku mesti lakukan dengan betul dan bersungguh-sungguh. Aku tiada masa untuk main-main. Kalau aku penat pun, ini sekejap sahaja tapi hasilnya kekal lama. Aku mesti buat dan capai apa yang aku rancang dengan izinNya!

InsyaAllah, sikap ini dapat mengelakkan misi-misi menjadi sampah. Sikap ini akan membantu anda berubah dan memperoleh apa yang diingini. Percayalah, Allah sayangkan hambaNya yang melakukan sesuatu dengan kesungguhan yang tinggi. Kemungkinan anda akan mendapat manfaat yang lebih daripada apa yang anda sangkakan.

LANGKAH KEEMPAT : REFLEKSI DIRI

Tahap ini berlaku di penghujung cuti sekolah. Ia memerlukan anda membuat sedikit kerja. Duduk dan senaraikan apakah pengajaran yang anda peroleh sepanjang anda merancang, melaksana dan mencapai misi anda. Ya, anda mesti tulis. Perasan atau tidak, sudah berapa banyak pengalaman berharga dan pengajaran yang membuka mata akhirnya hilang dari kotak ingatan. Apa yang menyedihkan, kesilapan yang dilakukan diulang-ulang dek kerana terlupa. Maka coretlah pengalaman berharga tersebut agar menjadi panduan di masa hadapan.

Bayangkan, berkat anda mencatat setiap pengajaran dan pengalaman, semestinya cuti sekolah yang akan datang menjadi lebih hebat dan mantap. Mana mungkin kesilapan lama diulang. Mana mungkin penemuan kekuatan diri diketepikan.

 

LANGKAH KELIMA : BERKONGSI BUKAN UNTUK DIDENGKI

Seusai cuti sekolah atau cuti semester, maka berkongsilah pengalaman anda dengan rakan-rakan. Berkongsilah dalam bentuk pengajaran dan bukannya bercerita sekadar untuk berbangga.

Perkongsian ini menyebabkan pengalaman anda bukan sahaja menjadi panduan kepada diri anda malah mampu memanfaatkan rakan-rakan anda. Malah proses ini juga memantapkan lagi ingatan anda terhadap pengajaran-pengajaran berharga tersebut. Tambahan pula, rakan-rakan anda juga pasti terdorong untuk berkongsi pengalaman cuti mereka. Nah, anda pula akan mendapat manfaat daripada pengalaman mereka! Bayangkan betapa ruginya sekiranya langkah kelima ini anda bakul sampahkan.

Tetapi ingat jangan terlalu beriya-iya menceritakan pengalaman anda sehingga menyebabkan orang yang asalnya terkesan bertukar menjadi bosan.

PENUTUP

Justeru, Abang Badr cadangkan  agar adik-adik semua benar-benar bersedia menghadapi cuti. Usah persiakan waktu ini kerana ia mampu menjadi detik lonjakan potensi. Momen melebarkan pengalaman dan pengetahuan. Namun semuanya bergantung kepada tindakan dan perancangan anda sekarang!

Jom jadikan cuti kali ini medan membangun kelebihan dan menyisih kelemahan diri. Biarlah kita bingkas bangkit menjadi kita yang lebih hebat tatkala hari pertama pembelajaran bermula!

Ayuh, kita bercuti dengan bijak!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *