3 LANGKAH BERI KOMEN MEMBINA! Jgn Menghina!

Dalam beratus-ratus seminar yang saya kendalikan, saya dapat lihat satu budaya di kalangan peserta khususnya yang berbangsa Melayu, yang agak keberatan untuk memberi komen atau respon kepada rakan mereka yang membuat persembahan atau presentasi.

Alasan paling popular adalah mereka sendiri pun tak hebat dalam presentasi, mana mungkin mereka layak untuk memberi komen kepada presentasi orang lain.

Dan satu lagi alasan adalah mereka takut komen mereka bakal menghiris hati dan perasaan rakan mereka yang membuat presentasi.

Baiklah, mari kita selesai masalah ini bersama! InsyaAllah!

 

Sebelum kita pergi lebih jauh, percayalah, anda tidak perlu rasa rendah diri untuk memberi komen kepada rakan anda. Kenapa? Kerana sabagai audiens anda ada hak untuk berkata sesuatu kerana andalah manusia yang berpengalaman mendengar bicara rakan anda tersebut. Anda bukan memberikan komen sebagai seorang presenter atau penceramah. Anda berbicara atas kapasiti sebagai seorang pendengar, penonton dan kumpulan sasaran.

Malah komen anda pastinya membawa rakan anda itu maju ke hadapan. Mana tidaknya, anda telah menunjukkan apa yang patut diperbaiki dan apa yang patut dipertingkatkan. Tidakkah ini menjadi penyebab dan panduan untuk rakan anda menjadi lebih bagus?

Bukankah dengan memberi komen yang ikhlas dan membina jauh lebih bagus daripada pujian yang berguni-guni? Pujian tidak membawa rakan ke hadapan. Ia menyebabkan rakan anda selesa dengan kedudukannya. Malah kadangkala pujian menyebabkan rakan anda jatuh semula ke belakang.

Konklusinya, usah risau untuk memberi komen. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk memberi komen tanpa mengguris emosi yang mendengar? Baiklah, ini 3 Langkah Beri Komen Tahap Profesional :

LANGKAH PERTAMA : Cari Kelebihan Dan Puji

Meskipun persembahan rakan anda sungguh lemah dan tidak menarik, pastinya ada sesuatu yang boleh dipuji. Ya, cari perkara tersebut walaupun kecil, dan terus puji.

“Alhamdulillah, persembahan tadi nampak yakin. Awak semakin berani berbicara.”

LANGKAH KEDUA : Fokus Kelemahan Dan Cara Atasi

Selepas memuji, barulah anda fokus kepada kelemahan rakan anda semasa membuat presentasi. Saat inilah yang anda tunggu untuk meluahkan apa yang di hati. Meskipun kurang sedap didengar, namun dengan kaedah ini, ia kedengaran sangat profesional.

Tambahan pula, anda juga memberikan solusi kepada kelemahan rakan anda tersebut.

“Cuma semasa awak bercakap tadi, tiada senyuman di bibir. Jadi tiada perasaan di wajah awak. Lepas ni kalau awak berlatih depan cermin lebih kerap, insyaAllah masalah ni boleh settle.”

LANGKAH KETIGA : Akhiri Dengan Satu Lagi Komen Positif

Selepas komen terhadap kelemahan, kini masa untuk menutup bicara anda. Tutup dengan memberikan satu lagi komen positif kepada rakan anda. Jika tiada apa yang boleh dipuji, anda boleh ulang semula pujian yang pertama tadi.

Dan jangan lupa senyum sambil beri komen anda!

“Apapun, awak dah lakukan dengan yakin! Keberanian ni adalah satu peningkatan yang cukup membanggakan! Good job!”

OK, jom menjadi insan yang profesional dalam memberi komen!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *