RAHSIA CERAMAH MELETOP!

Ramai yang bertanya kepada saya apakah perkara yang paling penting sebelum berbicara di hadapan khalayak ramai? Ramai juga yang cuba mengorek rahsia saya, mencari jawapan tentang apa yang menyebabkan bicara saya agak berbeza dengan yang lain. Ada juga yang tertanya-tanya mengapa sampai sekarang bicaranya kusam? Mudah.

Jawapannya adalah 3 perkara. Dan perkara tersebut adalah…

1. PERSEDIAAN

2. PERSEDIAAN

3. PERSEDIAAN

Bunyinya seperti kelakar. Perli pun ada. Tapi hakikatnya memang begitu! Preparation is everything!

Kita mungkin pernah melihat seseorang yang hebat berbicara dan petah berkata-kata di atas pentas. Namun mungkin kita tidak pernah tahu apa yang seseorang yang hebat itu lakukan sewaktu dia berada di bawah pentas.

Sehebat mana pun anda, anda tidak dapat lari daripada membuat persediaan. Meskipun anda sudah pun berpengalaman, persediaan tetap diperlukan bagi memastikan bicara kali ini lebih hebat berbanding dengan yang terdahulu. Selalunya, mereka yang berpengalaman tetapi tidak membuat persediaan akan dilanda masalah dan musibah yang paling ditakuti Komunikator Hebat iaitu OVERCONFIDENT!

Akhirnya, meskipun sudah berpuluh tahun bercakap, mereka tetap tergugup dan gagap. Dek kerana mereka lupa tiga perkara sebelum bicara iaitu PERSEDIAAN, PERSEDIAAN dan PERSEDIAAN.

Sungguh malang bagi mereka yang tidak membuat persediaan.

MALANG 1 : Menyangka apa yang dibaca oleh mata akan mudah dilafazkan dengan kata-kata.

Ianya sangat berbeza! Meskipun anda sudah ada nota yang berjela, powerpoint yang power beranimasi dan mikrofon emas termahal di dunia, anda mesti cuba terlebih dahulu menyampaikan idea dan point anda. Cuba dengan lisan. Bukan dengan hati! Cuba dengan cermin. Bukan sewaktu baring atas katil!

MALANG 2 : Merosakkan kredibiliti dan reputasi sendiri.

Walaupun anda seorang penulis hebat, pengkaji tersohor dan penyelidik berbakat, anda akan runtuhkan kredibiliti anda sendiri apabila anda berbicara tanpa sedia. Point yang dilontarkan dengan jelas, pendirian yang tidak digambarkan dengan tegas dan pergerakan tangan serta mimik muka yang tidak cergas, pastinya menyebabkan audiens anda mula berfikir negatif terhadap anda. Malah mempertikaikan kewibawaan anda!

MALANG 3 : Menyalahkan masa yang mencemburui.

Sebenarnya anda mampu untuk berbicara dalam jangka masa yang ditetapkan dengan syarat anda berlatih dan mencuba menyampaikan bicara dalam masa yang diberikan. Anda dapat bajet masa anda. Anda dapat tambah jika ada yang kurang. Anda juga bisa kurangkan jika ada yang terlebih. Ianya menjadi sangat profesional seandainya anda berbicara tepat pada waktu mula dan berakhir tepat pada waktu tamat.

Sebab itulah 3 perkara ini mesti diambil berat iaitu PERSEDIAAN, PERSEDIAAN dan PERSEDIAAN!

Percayalah, menurut kajian, 75% kehebatan anda di atas pentas dipengaruhi oleh apa yang anda lakukan di bawah pentas! (PERSEDIAAN, PERSEDIAAN, PERSEDIAAN)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *