MALAS! Ada Ubatnya…

Sepertimana dalam keluaran lepas, kita berbicara perihal malas. Dan ramai yang memberikan respon tidak sabar menunggu keluaran ini untuk mengetahui kaedah untuk mengatasi malas. Nampaknya ramai yang berkongsi penyakit yang sama. Tak usah risau, yang penting kita kenali diri dan kenalpasti potensi. Kita sedar kita lemah dan sekarang masa untuk kita atasi kelemahan!

Perkara pertama dan utama, sila ubah mind setting anda ke arah yang positif. Sedar atau tidak, selama ini anda malas kerana anda PILIH untuk malas. Dan selama ini, orang lain mampu rajin kerana mereka PILIH untuk rajin. Anda tidak dilahirkan sebagai pemalas kerana anda ini rajin juga orangnya. Anda rajin kemaskini Facebook anda tanpa gagal. Anda rajin bersembang dengan kawan tentang seseorang. Anda rajin  je main games hingga lupa makan minum. Anda juga rajin menonton televisyen meskipun azan sudah pun berkumandang.

Maknanya anda boleh menjadi rajin dan sudah pun terbukti yang anda boleh. Maka tolonglah, apabila berdepan dengan misi penting, pilihlah untuk RAJIN. Misi untuk belajar bersungguh-sungguh, menyiapkan tugasan kursus, melaksanakan perkara yang diputuskan dalam mesyuarat atau apa sahaja yang bermanfaat, janganlah pilih untuk MALAS! Ingat, it’s all about your mind! Jom kita kenali cara mengatasi malas.

Malas berakar kukuh di hati apabila mata hati kabur dengan beberapa persoalan. Anda akan terus menerus diganggu penyakit ini jika anda tidak mempunyai jawapan yang kukuh, MENGAPA misi anda itu mesti dilaksana? Anda akan tetap malas untuk bekerja jika anda gagal menjawab persoalan APA kesan buruk jika misi ini tidak terlaksana?

Jadi, bagi memastikan setiap misi anda selesai dengan jayanya, ambil sebatang pen dan sehelai kertas tuliskan perkara yang pertama yakni : Mengapa atau Apa kesan baik jika misi tersebut terlaksana? Tulis sebanyak mungkin. Jangan sekadar berimaginasi dan menulis di angin. Tulis di atas kertas.

Kemudian tulis pula di bawahnya : Apa kesan buruk jika misi ini tidak siap atau lewat disempurnakan? Tulis lagi sebanyak mungkin.

Dan seterusnya anda lekatkan di dinding bilik atau tempat yang anda akan sering melihatnya.

Hasilnya, anda telah melakukan 3 kaedah motivasi diri yang berkesan. Pertama anda telah berjaya mewujudkan faktor menarik yang bakal menarik anda untuk berusaha menyelesaikan misi. Kedua anda telah berjaya menghasilkan faktor menolak yang bakal menolak anda ke depan bagi memastikan misi mesti dilaksanakan. Ketiga, dengan melekatkannya di tempat yang selalu dilihat mata, anda akan memudahkan minda separa sedar menyerap mesej terus ke hati. Tubuh badan anda akan lebih mudah untuk tunduk kepada kehendak iman yang mahukan amanah dipegang, ditunaikan segera. Tak percaya? Cubalah!

Seterusnya, anda malas kerana minda anda sebenarnya serabut. Serabut dengan masalah-masalah kecil yang akhirnya berkumpul menjadi besar. Kebiasaannya minda kita serabut apabila melihat keadaan yang serabut. Contohnya, bilik kerja atau meja studi kita semak. Buku berselerak, terdapat kesan air minuman semalam yang tumpah, pembaris patah, tisu bergumpal, meja senget dan pelbagai lagi. Semua ini menjadikan anda serabut minda. Dan akhirnya, misi gagal dilaksana dek kerana sifat malas sudah pun bermaharajalela!

Justeru, penyelesaian seharusnya begini. Abang Badr cadangkan apabila anda ingin bersantai, sama ada ingin menonton TV, membaca majalah, atau keluar bersiar, lakukan perkara ini. Luangkan 10 hingga 15 minit sebelum bersantai untuk sekadar mengemas meja studi atau tempat kerja anda tanpa ada niat langsung untuk studi atau melaksanakan misi. Ya, sekadar mengemas. Susun buku-buku yang bersangkutan dengan misi anda. Pastikan peralatan seperti kalkulator dan kamus mudah dicapai. Lapkan kekotoran yang ada. Dan semburkan sedikit haruman. Kemudian, pergilah berehat dan bersantai.

Cuba bayangkan, sesudah anda puas berehat dan berlibur, anda mula teringatkan misi yang perlu dilaksanakan itu. Dan saat itu, ketika anda melihat ke arah  meja anda, kelihatan ia seakan menggamit mesra. Dengan kekemasan dan suasana kondusif yang wujud, minda anda pasti tidak akan serabut. Dan insyaAllah, kemalasan pasti luput! Anda mampu untuk memulakan langkah pertama melaksanakan misi.

Kaedah yang seterusnya amat menarik. Anda pernah menaiki kereta api? Perasan atau tidak, kereta api pada mulanya bergerak perlahan. Kemudian kelajuannya meningkat dan terus meningkat sehinggalah satu tahap kereta api ini akan terus meluncur laju ke destinasi. Kita juga sebenarnya seperti sifat kereta api ini.

Hanya ketika permulaan sahaja yang menjadi bebanan kepada kita. Saat inilah kita mengumpul tenaga dan menghasilkan momentum sepertimana kereta api yang baru memulakan perjalanan. Dan malangnya, saat inilah yang ramai di antara kita yang gagal mengharunginya. Saat inilah ramai yang rasa mengantuk, malas dan teringin sangat-sangat mengadap televisyen. Saat ini jugalah ramai yang tumbang dan mengambil keputusan untuk tidak terus melaksanakan misi.

Jadi gunakanlah teknik 7 Minit Pertama. Teknik ini memerlukan anda memasang niat dan azam yang cukup tinggi untuk melakukan yang terbaik dalam tempoh 7 minit pertama anda melaksanakan misi. Janji dengan sesungguh hati, yang anda akan fokus sefokus-fokusnya, minat seminat-minatnya dan rajin serajin-rajinnya dalam melaksanakan misi tersebut! Ya, janji dengan diri sendiri!

Tunaikan janji tersebut dan kemudian tengoklah hasilnya. Kereta api sudah berjalan ke depan, momentum telah pun terhasil, tenaga sudah pun meletus, dan sekarang masanya untuk memecut laju ke matlamat yang dituju. Sedar tidak sedar, anda sudah pun mula, sedang dan akan terus melaksanakan misi dengan penuh semangat! Sifat malas hilang, sifat rajin yang datang!

Tuntasnya, mulakanlah perjuangan menentang malas ini dengan senjata yang terbaik iaitu doa. Berdoalah kepada Allah agar dihapuskan sifat malas dan mohonlah kepada Yang Maha Perkasa agar segala misi terlaksana dengan jayanya.

Sesuaikan tips-tips yang telah kita bincangkan dalam Detik Hati ini dengan kehidupan anda. Tidak kiralah sama ada anda pelajar atau mahasiswa, tidak bekerja ataupun berkerjaya, lakukan dengan sehabis cemerlang. Pasti ia mampu melonjakkan produktiviti anda sebagai Muslim yang efisien dan mantap. Abang Badr percaya, anda mampu melakukannya!

Ingat, malas itu penyakit. Dan setiap penyakit ada ubatnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *