INGATAN TAK KUAT! Ini Solusinya…

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua!

Semoga semuanya ceria, bertenaga dan bersedia untuk memotivasikan diri sendiri. Ingat pesanan Abang Badr sebelum ini, motivator yang terbaik adalah diri kita sendiri. Tugas Abang Badr adalah menerapkan tips motivasi dan ciri motivator terbaik untuk anda semua, bukannya bertindak sebagai motivator hidup anda.

Pada hari ini, Abang Badr nak berkongsi rahsia untuk menguatkan ingatan dan memperkukuhkan memori. Mana tidaknya, ramai di antara peserta AMPAC yang mengadu betapa mereka kerap terlupa dan sukar mengingat ilmu yang dipelajari. Impaknya, peperiksaan yang sepatutnya dihadapi dengan mudah bertukar menjadi mimpi ngeri.  Formula yang diingat, fakta yang dihafal akhirnya lenyap pada saat anda sangat memerlukannya untuk menjawab soalan!

InsyaAllah, segala tips dan kaedah untuk menguatkan ingatan akan Abang Badr kongsikan agar ilmu anda yang diperoleh tersisip kemas dalam kotak memori.

  1. 1.      MATLAMAT MENUNTUT ILMU

Inilah masalah popular yang dihadapi oleh ramai remaja. Malangnya ramai juga di antara mereka yang tidak sedar akan cabaran ini.

Kebanyakan remaja hari ini menguasai sesuatu ilmu demi mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Ya, markah yang tinggi dan gred ‘A’ menjadi sasaran pertama dan utama. Apa sahaja yang membolehkan ‘A’ dirangkul, pasti akan dilakukannya. Tidak kiralah sama ada perlu bersengkang mata atau membodek pensyarah, pasti akan dilaksanakan tanpa kenal perit dan lelah.

Malangnya, remaja sebegini akan rugi serugi-ruginya. Ilmu yang penat diingat akan mengalir hilang sebaik sahaja peperiksaan tamat. Tuntasnya, lahirlah generasi yang hebat di atas kertas namun gagal mendepani cabaran dunia yang luas. Keputusan yang cemerlang kekal di sijil namun akhirnya ilmu hilang dan tercicir.

Maka tuntutlah ilmu dengan matlamat untuk mendalami khazanah Allah. Letakkanlah matlamat untuk menguasai ilmu supaya dapat memanfaatkannya dalam kehidupan diri dan orang lain. Percayalah, ingatan anda akan menjadi kuat, kental dan bersedia untuk menggunakan ilmu tersebut apabila diperlukan.

  1. 2.      NIAT UNTUK MENGINGAT

Kedengaran seperti agak kelakar tetapi ini adalah teknik yang sangat berkesan. Apabila melaksanakan latihan minda di AMPAC, Abang Badr akan memberikan amaran bahawa setiap perkara yang Abang Badr maklumkan akan disoal semula di akhir kelas. Menariknya, para pelajar AMPAC dapat mengingat dengan baik!

Rahsianya ialah tatkala Abang Badr memberikan amaran untuk menyoal semula apa yang diajar, para pelajar AMPAC akan terus memfokuskan minda dan mempersiapkan jiwa untuk mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh Abang Badr. Mereka bersedia dan itulah yang dikatakan niat untuk mengingat.

Ajaibnya, minda dapat menyerap maklumat dengan baik kerana hati turut sama bersedia. Jadi ketika belajar, anda mesti berniat untuk mengingat!

  1. 3.      ‘REPETITION IS THE MOTHER OF KNOWLEDGE’

Satu lagi kaedah mudah diamalkan tetapi susah dikekalkan adalah teknik pengulangan. Sesungguhnya minda kita ini lebih mudah mencerap dan menerima ilmu apabila ia dimasukkan secara berulang-ulang kali.

Bukankah teknik ini juga digunakan oleh para penghafaz Al-Quran? Mereka membaca berulang-ulang kali sehingga mereka menguasai ayat-ayat tersebut.

Dengan mengulang perkara yang perlu diingat, maklumat-maklumat itu akan sangat mudah melekat.

Biarpun ramai yang merasakan teknik ini adalah biasa, percayalah bahawa ramai yang menganaktirikannya! Andai anda dapat hidupkannya dalam kehidupan anda sebagai pelajar, percayalah ingatan anda akan menjadi sangat kuat. Kerana pengulangan adalah ibu kepada proses pembelajaran!

  1. 4.      BERGAMBAR DAN BERWARNA

Otak manusia sangat bersedia untuk mengingat sekiranya paparan yang dilihat dalam bentuk gambar dan berwarna.

Nota yang sarat dengan tulisan bakal membuahkan kebosanan ketika belajar. Malah mengurangkan kemampuan anda untuk mengingat sesuatu perkara. Di sinilah perlunya teknik nota bergambar dan berwarna. Salah satu kaedahnya dinamakan sebagai peta minda.

Dengan gambaran yang jelas, warna yang pelbagai, diselit pula dengan perkataan-perkataan yang menggambarkan isi-isi penting, peta minda membangkitkan kemampuan otak untuk mengingat dan mencetak informasi ke dalam kotak memori. Disebabkan itulah kita sendiri lebih mudah mengingat wajah seseorang berbanding namanya, betul tak?

Meskipun sudah berkerjaya, sehingga hari ini Abang Badr menggunakan teknik peta minda untuk mendalami ilmu. Apatah lagi ketika Abang Badr bergelar mahasiswa undang-undang di UIAM dan pelajar cemerlang di SMKA Al-Irshad Pulau Pinang. Teknik ini sangat-sangat membantu!

  1. 5.      PEMAKANAN YANG BIJAK

Tidak dapat dinafikan betapa memori juga dipengaruhi oleh apa yang kita makan. Makanan yang baik untuk otak antaranya adalah :

  • Kismis
  • Madu
  • Telur
  • Buah beri
  • Kacang
  • Iklan
  • Coklat

Dan dalam masa yang sama elakkan makan makanan yang mengikis kekuatan minda anda. Antaranya :

  • Jeruk
  • Ais krim berlemak
  • Makanan Ringan (Junk Food)
  • Rokok

6. DOA KUATKAN INGATAN

Usah lupa bahawa segala kekuatan dan kelebihan adalah kurniaan daripada Yang Maha Esa. Mintalah kepadaNya. Sujud dan mengadulah semahu-mahunya. Pohon agar ingatan anda sentiasa kuat, segar dan kental.

Antara doa yang baik untuk ingatan adalah ayat 70, surah Al-Isra’ yang bermaksud

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Akhir kata, peliharalah ingatan kita dengan sebaik-baiknya. Semoga ingatan yang kuat disuburi dengan iman dan amal yang mendekatkan kita dengan Yang Maha Perkasa. Selamat menguatkan memori!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *