TAKDE MOOD NAK STUDY! Ini Solusinya…

Assalamualaikum dan salam perjuangan kepada semua pembaca!

Hari ini kita bakal membicarakan persoalan yang cukup penting tetapi selalu dipandang enteng. Acap kali Abang Badr didendangkan dengan alas an-alasan pelajar kecundang yang mahu meletakkan kesalahan mereka kepada orang lain. Salah satu daripada sebab mereka malas belajar adalah kerana tidak ada ‘mood.’ Sedih dan agak kelakar bunyinya tetapi itulah perkara yang sering dikambing hitamkan oleh pelajar kecundang.

Sedangkan pelajar yang cemerlang mereka langsung tidak larut dengan perasaan. Malah mereka  percaya bahawa ‘mood’ atau keinginan untuk belajar dibentuk, dibina dan dijana oleh diri kita sendiri. Ya, diri kita sendiri.

Andai anda  berusaha mencetuskan rasa gembira maka gembiralah anda semasa mentelaah pelajaran. Sebaliknya, jika anda membiarkan diri hanyut dengan runtunan nafsu dan godaan syaitan,  maka sesi pelajaran anda pasti akan membosankan! Semuanya berdasarkan pilihan anda. Ya, anda yang membuat pilihan! Usah dibiarkan diri anda dikemudi sanubari dan menanti ‘mood’ yang tak kunjung tiba. Anda perlu ambil tindakan sekarang!

Baiklah, Abang Badr ingin berkongsi dengan anda semua bagaimanakah kita mampu mencipta ‘mood’ gembira agar hati menjadi senang, minda pula terangsang dan pastinya kejayaan cemerlang mendatang.

TIPS  MENJANA ‘MOOD’ BELAJAR

  • Senyum. Ya, senyum!  Percaya atau tidak, apabila anda kerap menguntumkan senyuman, tubuh anda bakal mengenepikan stress  dan menjana keceriaan. Tambahan pula, kajian juga menunjukkan betapa dengan senyuman, kesihatan anda akan lebih terjamin. Dan yang paling menarik, bukankah Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa senyum itu sedekah?! Jadi senyumlah sesenyum senyumnya sekarang!

 

Anda bakal mencipta perasaan relaks, membina emosi gembira dan memudahkan anda untuk mengadap buku (bukan facebook ya!) dengan kesungguhan yang lebih tinggi. Abang Badr cadangkan anda lakukan kaedah ini sambil mengadap cermin, insyaAllah kesannya lebih cepat dan impaknya lebih mendalam. Tak percaya? Cubalah!

 

  • Bersyukur dan berterima kasih. Ya, cari jalan untuk mensyukuri semua nikmat yang Allah kurniakan. Kehebatan sifat ini akan mengundang seribu satu lagi nikmat lain yang tidak terhitung jumlahnya. Cuba lihat sekeliling anda. Bersyukurkah anda pada hari ini apabila Allah masih menganugerahkan anda gelaran sebagai seorang Muslim? Bersyukurkah anda pada hari ini apabila Allah masih mengizinkan mata anda mampu memandang, telinga mampu mendengar dan mulut mampu berbicara? Dan bersyukurkah anda pada hari ini tatkala ramai remaja yang cenderung membaca bahan hiburan yang melalaikan, anda dilorongkan oleh Allah untuk menatap bahan ilmiah yang bermanfaat?

 

Jom kita bersyukur! Bersyukur atas segalanya dan anda akan rasakan betapa tubuh badan anda akan menjadi lebih ringan dan bertenaga untuk melakukan apa sahaja tugas. Inilah saatnya untuk anda menjamah ilmu di buku dan mengizinkan minda mencerap isi bacaanmu.

 

  • Bermain! Biar betul? Ya, bermain. Sedar atau tidak, sejak daripada kecil, kita banyak belajar tentang kehidupan menerusi permainan. Kita belajar tentang kejujuran menerusi permainan sorok-sorok. Kita belajar tentang kepantasan dan strategi daripada permainan baling selipar. Dan kita kenal erti kerjasama daripada permainan bola sepak. Kenapa? Ini kerana saat kita bermain, kita bermain dengan bersungguh-sungguh. Bukan sekadar keceriaan yang kita miliki, malah kita serius dalam setiap saat kita bermain. Bukankah ini yang anda perlukan ketika belajar?

Masalah pelajar kecundang adalah mereka suka main-main! Mereka tidak fokus dan tidak ceria. Mereka tidak serius ketika belajar. Akhirnya proses pembelajaran yang sepatutnya menarik menjadi hambar dan membosankan kerana mereka tidak bijak ‘bermain’ ketika belajar.

Pelajar cemerlang lain pula ceritanya. Mereka menganggap membaca buku sebagai satu pengembaraan mencari jawapan. Mereka berlumba dengan masa. Mereka mencabar keupayaan diri dan melakukan dengan bersungguh-sungguh setiap latihan yang diberi. Mereka seronok dan puas setiap kali misi berjaya disempurnakan. Mereka bermain dan bukannya main-main! Kerana  itulah mereka berjaya mencapai impian dan meninggalkan pelajar kecundang tercungap-cungap bersama angan-angan!

Kesimpulannya, Abang Badr ingin tegaskan sekali lagi betapa andalah faktor yang menentukan sama ada ‘mood’ untuk belajar wujud atau terkubur. Semuanya atas pilihan anda sendiri. Andai anda memilih untuk sentiasa senyum, sentiasa bersyukur dan seronok bermain, insyaAllah perasaan untuk belajar lebih mudah dijemput. Sebaliknya jika anda sekadar menantikan ‘mood’ itu hadir, dikhuatiri masa anda mengalir deras terbazir dan semestinya prestasi akademik anda bakal menjunam ke tahap yang langsung tidak memberangsangkan!

Jom cipta ‘mood’ untuk belajar! Dan berhenti menyalahkan orang lain!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *