MURABBI ; Cari dan Jadi!

Murabbi; Cari & Jadi!

Assalamualaikum semua! Harap semuanya ceria, bertenaga dan tidak putus asa dalam menjadikan diri anda seorang Muslim yang hebat!

Tahun 2014 sudah mula masuk ke bulan yang seterusnya. Banyak perkara telah kita rancang dan mula laksanakan. Cuma kita risau andai perancangan akhirnya bernoktaah dengan angan-angan. Maka molek kiranya kali ini Abang Badr berkongsi satu lagi kaedah motivasi diri yang mampu membantu anda semua untuk terus cemerlang tahun ini dan tahun-tahun yang mendatang. Teknik ini telah diguna pakai oleh semua orang yang berjaya sama ada yang masih hidup atau yang sudah meninggal dunia. Nak tahu rahsianya?

Murabbi atau mentor. Dua nama yang sekali imbas memaparkan imej yang cukup hebat. Berkongsi maksud yang hampir serupa, murabbi atau mentor adalah individu yang menunjukkan jalan dan seterusnya membimbing seseorang yang lain dalam mencapai apa yang diinginkan dengan menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh murabbi atau mentor tersebut.

Dialah guru. Dialah jurulatih. Dialah pendidik dan pembimbing ke arah kejayaan. Maka hari ini kita berbicara tentang dia.

  1. MENCARI MURABBI

Dalam mencorak kejayaan, kita perlu bijak dalam mengatur strategi. Dan strategi yang terbaik adalah strategi daripada mereka yang telah mencapai kejayaan yang kita impikan. Strateginya sudah terbukti berkesan dan insyaAllah andai kita pula yang mengaplikasikannya, hasilnya pasti sama.

Begitulah yang dilakukan oleh majoriti insan berjaya di seluruh dunia. Semuanya memiliki mentor tersendiri. Sebut sahaja siapa pun, nama mereka pasti akan dikaitkan bersama dengan mentor-mentor mereka. Malah mereka sendiri mengiktiraf betapa mentor sangat penting dalam perjalanan mereka mencipta kejayaan.

Sama ada tokoh tersebut seorang usahawan terbilang, pakar motivasi ternama, imam masjid, pelari pecut negara, tokoh guru cemerlang atau johan pidato sekolah, kesemua mereka ini mempunyai murabbi atau mentor mereka tersendiri.

Andai kita pergi lebih jauh menyusuri sejarah, lihat sahaja betapa hebatnya para sahabat Nabi memperjuangkan Islam kerana mereka memiliki mentor terbaik di dunia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Begitu juga dengan generasi pejuang Islam yang seterusnya yang sentiasa mempunyai murabbi bagi membimbing perjuangan mereka.

MENJIMATKAN MASA UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN

Apa yang menariknya tentang memiliki murabbi ini juga adalah anda semestinya dapat menjimatkan masa dalam mencapai kejayaan. Kenapa ye? Ini kerana anda tidak perlu lagi mengulangi kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan oleh murabbi atau mentor anda ketika mereka mencorak kejayaan pada satu ketika dahulu.

Bayangkan setiap nasihat yang diberi dan idea yang dilontarkan sebenarnya mengambil masa 5 ke 10 tahun pengalaman untuk dipelajari. Dan anda dapat menguasai pengajaran tersebut hanya dengan fokus selama 5 ke 10 minit untuk mencerap maksud nasihat yang murabbi sampaikan. 10 minit untuk menjimatkan 10 tahun! Abang Badr yakin ini sangat berbaloi.

Formula yang Abang Badr cipta untuk bijak berbicara yang bernama T.I.R.U. sahaja mengambil masa berbelas-belas tahun. Tetapi menerusi formula itu, mereka yang takut dan tidak mampu berbicara di hadapan orang ramai pun insyaAllah dapat mengatasi masalah tersebut dalam tempoh sebulan hingga dua bulan. Untung betul mereka yang mengetahui formula kerana belasan tahun sudah dapat dijimatkan!

  1. MENJADI MURABBI

Ya, bunyinya seperti belum layak. Tetapi sebenarnya anda mampu melakukannya! Pertama anda perlu kenali apakah kelebihan atau kepakaran anda. Kemudian fikirkan bagaimana kepakaran anda itu mampu memberikan manfaat kepada orang lain.

Contohnya anda ini bijak dalam subjek matematik. Dalam masa yang sama anda juga memiliki rakan yang agak lemah dalam matematik. Apa kata anda menawarkan diri untuk membantu rakan anda dalam mengatasi masalahnya dalam matematik. Anda menjadi mentor matematik untuk rakan anda tersebut. Anda bimbing rakan anda yang lemah itu untuk mengatasi kelemahannya dan membawanya ke jalan kejayaan.

Kenapa ye? Apa yang menarik sangat tentang menjadi mentor ini? Bukankah ini bakal menyusahkan kita? Bukankah ini akan mencuri masa kita untuk belajar atau melakukan sesuatu yang kita suka?

MENGAJAR ADALAH BELAJAR

Sungguh, apabila anda mengajar orang lain, anda sebenarnya sedang belajar! Dan bayangkan lebih ramai orang anda ajar, lebih banyak anda belajar! Perasan atau tidak, pelajar yang cemerlang akan terus cemerlang terutamanya pelajar cemerlang yang suka mengajar rakan-rakannya yang lain. Kenapa ye? Kerana mengajar adalah belajar! Pelajar cemerlang semakin hebat dalam topik yang diajarnya kerana dia sendiri belajar dan terus belajar topik tersebut setiap kali dia mengajarkannya.

Wah, menarik ni! Maknanya, sekiranya anda menggunakan kepakaran anda untuk menjadi mentor dalam perkara tersebut, lama kelamaan anda sendiri bakal menjadi pakar dalam hal tersebut! Pahala pun dapat! Kawan pun makin ramai! Anda bakal menjadi manusia yang hebat kerana manusia yang hebat adalah mereka memberi manfaat kepada manusia yang lain.

Usah ikuti langkah mereka yang kecundang. Mereka ini acap kali kedekut ilmu. Malas dan tidak mahu berkongsi kelebihan yang mereka ada. Akhirnya kelebihan mereka yang kononnya hebat itu tidak berkembang kerana tidak dikongsi dan diajar kepada mereka yang memerlukan. Kasihan…

Jadi ini masanya untuk mencari apa sahaja peluang yang membolehkan anda mengajar dan berkongsi kepakaran anda. Zaman internet ini lebih mudah untuk merealisasikan projek ini. Gunakan media sosial untuk berkongsi ilmu dan kepakaran. InsyaAllah anda mungkin mentor yang seterusnya!

 

PENUTUP

Tuntasnya, usah membuang masa mencoret kesalahan sedangkan  kesalahan dapat dielak dengan memiliki murabbi yang bijak memimpin. Dan usah persiakan kebolehan yang anda miliki. Jadilah mentor kepada mereka yang memerlukan. InsyaAllah, kebajikan dapat dibuat, pahala semakin meningkat dan ini menjadi salah satu usaha jihad.

Selamat mencari murabbi dan menjadi murabbi!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *