SAHABAT HEBAT! Tips Bersahabat!

Assalamualaikum dan salam perjuangan semua! Semoga semuanya terus teruja untuk meletakkan semula Islam ke tempat asalnya yakni di kedudukan yang tertinggi dan  dihormati. Alhamdulillah, Abang Badr dan pasukan AMPAC di seluruh negara semakin bersemangat menempuh cabaran dalam menempa kejayaan membentuk generasi Muslim yang cemerlang duniawi dan ukhrawi.

Pernah satu ketika  dahulu, Abang Badr didatangi oleh seorang ibu yang hadir bersama tangisan, bahunya dibeban dengan permasalahan yang berpunca daripada anaknya yang bongsu. Si ibu sambil mengesatkan air mata memberitahu keadaan anaknya yang suatu ketika dahulu cukup baik dan tampak solehah.  Akhlaknya baik, auratnya terpelihara dan akademiknya bisa dibangga.

Namun kemasukannya ke sekolah menengah mencairkan apa yang selama ini dibentuk dan diadun dengan rapi. Bicara sudah tiada adab dengan guru. Menderhaka terhadap perintah ibu. Solat juga sudah tidak cukup 5 waktu. Malah mulutnya juga sudah mula bijak menipu. Seolah-olah si ibu itu hidup dengan orang baru. Insan yang dia tidak pernah kenal walaupun dahulunya pernah dikandung dengan penuh kasih sayang.

Sebagai orang yang dirujuk, pastinya Abang Badr cuba melakukan yang terbaik untuk membantu. Dan selepas hampir sejam mendengar luahan dan memperdengarkan pesanan, Abang Badr dapat simpulkan betapa semua ini terjadi dek kerana anaknya telah memilih kawan yang salah. Ya, itu semua adalah masalah pengaruh rakan sebaya!

ISLAM MENGAJAR KITA UNTUK MEMILIH KAWAN

Bukankah kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w. banyak berpesan kepada kita tentang rakan? Bukankah kita sering mendengar betapa mereka yang berkawan dengan tukang besi akan turut terasa kehangatannya manakala yang berkawan dengan penjual minyak wangi akan turut terpalit kewangiannya? Dan bukankah kita dapat lihat bagaimana para sahabat Nabi mengalami transformasi hebat kerana berkawan dengan Nabi Muhammad s.a.w.?

Semua ini membuktikan bahawasanya persahabatan itu perlu. Berkawan itu penting. Mempunyai rakan bukan satu pilihan tetapi satu kewajipan. Kita semua mesti ada kawan yang mampu membawa kita ke hadapan dan bukannya menarik kita jatuh terlentang ke belakang.

6 ORANG YANG PALING RAPAT

Kajian telah membuktikan enam orang yang paling rapat dengan hidup adalah orang yang akan mempengaruhi anda dalam banyak perkara. Cara anda berfikir, berbicara, mengeluarkan pendapat, bergaul dan bertindak semuanya bergantung kepada 6 orang yang paling rapat.

Ya, apa kata anda fikirkan sejenak,siapakah 6 orang yang paling rapat dalam hidup anda? Perasan atau tidak, mereka telah, sedang dan akan terus menguasai hidup anda dalam pelbagai aspek.

Nasihat Abang Badr pastikan 6 orang dalam hidup anda itu benar-benar boleh dipercayai, layak dicontohi dan berbaloi dipengaruhi. Ini kerana mereka inilah yang secara langsung dan tidak langsung memimpin anda ke arah masa depan yang anda idamkan. Selain itu, kewujudan mereka ini juga mewujudkan biah atau suasana yang memandu anda keluar dari jalan buntu.

Sebaliknya, andai 6 orang rakan anda bersifat negatif maka anda secara automatiknya bakal menuju ke arah yang buntu dan penuh dengan kerosakan.

Persoalannya, bagaimanakah kita mahu memilih kawan yang mampu membawa kita ke depan?

UJIAN PERKENALAN

Bayangkan sekarang ini anda baru mengenali seorang rakan yang sebaya dan sama jantina dengan anda. Dan anda mahu pastikan si dia berbaloi dibuat kawan baik. Caranya adalah begini :

  1. Ajak kenalan anda itu untuk keluar makan bersama. Anda bisa melihat dalam situasi ini adakah dia seoang yang sabar menunggu makanan dan adakah dia seorang  yang menitik beratkan persoalan halal dan haram.
  2. Apabila azan berkumandang, cuba perhatikan responnya. Adakah dia akan bingkas bangun untuk solat? Atau dia sekadar diam membantu dan membiarkan waktu solat sekadar berlalu?
  3. Berbual dengan dia tentang matlamat hidup, cita-cita dan impian. Lihat bagaimana dia menjawab. Sekiranya dia tampak gelisah, tidak selesa dan menukar topik perbualan, dikhuatiri bakal sahabat anda itu sebenarnya seorang yang tidak ada wawasan hidup. Dan mereka yang tidak ada matlamat hidup, mereka sekadar zombi yang menunggu bulan jatuh ke riba!

Andai kenalan anda itu lulus dengan cemerlang, alhamdulillah Abang Badr ucapkan. Bagi anda yang was was dengan bakal sahabat anda itu, Abang Badr cadangkan anda mencari mereka yang lebih layak dan mampu untuk memandu kita ke hadapan.

Ingat, kita boleh berkenalan dengan seramai mungkin manusia. Namun hanya yang bagus akan diterima menyertai lingkungan sahabat kita. Sekiranya anda tetap mahu berdegil, dipersilakan. Dikhuatiri anda gagal mengubah kawan anda dan malangnya anda pula bakal diubah oleh mereka!

Jom jaga siapakah sahabat kita!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *