INI RAHSIA BIJAK BERBICARA! Kenapa?

Ramai yang suka bercakap selepas mereka pandai bercakap. Cuma pandai bercakap dengan hanya mampu berkata-kata tidaklah menjamin komunikasi anda itu bermutu dan patut didengari. Bijak berbicara bukan sekadar hebat melafazkan kata-kata. 

Ia adalah seni. Ia juga adalah ‘journey.’ Perjalanan mesej yang efektif. Maka anda perlukan KENAPA sebelum anda mula berbicara!

3 SEBAB KENAPA ANDA MESTI LETAKKAN SASARAN DALAM BICARA!

1. ANDA TIDAK DAPAT MENEMBAK SASARAN YANG ANDA TIDAK NAMPAK

Mana mungkin anda bisa memberikan impak kepada audiens sekiranya anda sendiri tidak tahu apa yang diperlukan oleh audiens. Dengan bahasa mudahnya, bicara anda akan menjadi sia-sia. Seperti tin kosong yang bunyinya kuat tapi isinya tiada!

Bukan audiens sahaja terpinga-pinga, anda sendiri akan jadi tak tentu arah! Ye lah, anda sendiri tidak tahu arah mana hendak dituju. Maka ambil sedikit masa untuk letakkan sasaran bicara anda.

Apa yang ingin anda capai selepas tamat bicara?

Apa yang perlu audiens tahu setelah selesai anda berucap?

Apa yang patut audiens lakukan dan bawa pulang apabila anda tamat berbicara?

Tanpa matlamat, semuanya bakal menjadi sia-sia! Umpama bermain futsal tanpa gawang gol!

2. ANDA TIDAK DAPAT BAJET MASA DENGAN BAIK

Masakan tidak, anda pasti terbabas kerana bercakap perkara yang entah utara, entah selatan. Tup tup, masa sudah sampai ke penghujungnya. Tap tap, anda dengan mudah menyalahkan masa mencemburui anda! Ayat yang sangat cliche.

Dengan adanya matlamat, anda pasti dapat melihat bagaimana masa dapat dibahagikan. Secara mudah, anda tidak akan bercakap satu isi penting lebih daripada 5 minit sekiranya anda sedar anda ada 3 isi penting untuk disampaikan dalam tempoh 15 minit. Setuju?

Tapi semua ini hanya berlaku jika anda miliki sasaran. Ya, SASARAN BICARA!

3. ANDA MEROSAKKAN REPUTASI DIRI DAN MENCEMARKAN KREDIBILITI

Dengan bercakap secara semborono, berbicara secara terhoyong hayang, reputasi anda pastinya tercalar. Krebiliti anda dipersoal. Nama baik anda mungkin terjual.

Anda mesti letakkan apa yang ingin anda capai sebaik sahaja anda habis berbicara. Ini adalah satu elemen yang cukup penting sebelum anda mula berucap.

Jika anda ingin merasmikan sesuatu majlis, letakkan siap-siap apa yang ingin anda sentuh dan bagaimana ayat akhir anda untuk merasmikan majlis tersebut.

Jika anda perlu memberikan tazkirah, letakkan siap-siap apakah mesej yang ingin disampaikan supaya audiens sampai ke destinasi yang anda mahu mereka faham.

Selagi tidak ada matlamat atau target, usah berbicara. Senang cerita. Lebih baik diam. Daripada membebel tanpa sebab.

Jom kita bersedia untuk menjadi BIJAK BERBICARA!!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *