KELAS MEMBOSANKAN? Ada Solusinya…


Assalamualaikum dan salam ceria kepada semua adik-adik pembaca sekalian. Kenapa muka nampak tak ceria ni? Cuba senyum sikit! Senyum lagi! Ya, macam tu la baru dikatakan remaja yang ceria dan bersemangat. Abang Badr nak berkongsi rahsia dan tips yang menarik ni. Jadi Abang Badr mahukan fokus dan tenaga yang tinggi daripada adik-adik semua, boleh?

Penjelajahan AMPAC ke seluruh negara menemukan Abang Badr dengan ribuan pelajar yang menghadapi seribu satu cabaran. Antara yang menariknya adalah para peserta yang menyalahkan kegagalan mereka kepada  suasana kelas yang membosankan. Kelas yang menyebabkan mereka mengantuk. Kuliah yang suasananya lebih banyak membatu daripada membantu. Ya, mereka menyalahkan cikgu, guru, pensyarah dan pendidik mereka tidak bijak dalam mengendalikan sesi pembelajaran!

Tidak dinafikan bahawa sebagai seorang manusia, pendidik juga ada kelemahan tersendiri. Namun ini bukanlah tiket untuk anda sebagai pelajar bersikap menuding jari menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Dua jenis manusia yang hidup di dunia ini adalah mereka yang sentiasa menafikan kesalahan diri dan mereka yang mengambil tanggungjawab terhadap masa depan sendiri. Anda orang yang bagaimana?

Justeru, daripada anda menjadikan situasi kelas yang bosan sebagai alasan, apa kata anda mula bertindak bijak menghadapi cabaran. Anda perlu ingat, guru adalah pencurah ilmu. Andai anda bisa mengumpat guru, jangan terkejut jika anda terlompat hiba apabila mendapat keputusan peperiksaan kelak. Jadi apa yang patut kita lakukan untuk mengatasi cabaran ini ye?

  1. KETAHUI SEBAB DAN MATLAMAT PENGUASAAN SUBJEK TERSEBUT

Andai anda merasakan kelas matematik adalah sesi pembelajaran yang membosankan, cuba lihat semula kenapa anda perlu menguasai subjek tersebut. Walaupun guru tersebut mungkin tidak mengikut selera anda, anda tetap dapat memberikan fokus jika matlamat belajar itu jelas. Malah kekurangan guru itu sudah tidak dapat mengganggu anda dek kerana khusyuknya anda memandang tepat ke arah sebab utama anda berada di dalam kelas tersebut!

Untuk menjadikan suasana lebih mantap, bayangkan pula apakah kesan buruk yang anda bakal lalui jika anda terus menganaktirikan kelas subjek tersebut. Betapa susahnya hidup anda jika matematik tidak dikuasai, kemahiran mengira tidak menemani dan kepantasan berfikir tidak dimiliki. Semua ini bakal meletakkan minda anda kepada pengisian dan percayalah, fokus anda akan lebih menebal serta suasana kelas yang kononnya bosan itu akan dipandang sebagai perkara picisan.

 

 

  1. UBAH SUASANA YANG MEMBOSANKAN KEPADA SUASANA MEMBERANGSANGKAN

Tidak dapat kita nafikan bahawa suasana yang positif membentuk sikap yang positif dan sebaliknya. Walau sehebat mana anda sekalipun, kehebatan anda mungkin hilang sekiranya persekitaran anda  menyedut sikap positif anda. Jadi apa kata kita ubah suasana yang membosankan itu dengan suasana yang memberangsangkan. Bagaimana ye?

Pertama, anda perlu sedar yang anda tidak boleh lakukannya seorang diri. Ya, anda perlukan kumpulan. Kumpulan yang mana sudah berpakat untuk menceriakan kelas. Berpakat juga untuk memastikan momentum pembelajaran sentiasa di kemuncak dengan bertanyakan soalan-soalan yang membina. Soalan yang menjana minat rakan-rakan lagi termasuk cikgu untuk memberikan yang terbaik.

Ya, berpakatlah dengan rakan-rakan yang boleh bekerjasama. Rancang bagaimana untuk menggembirakan cikgu yang mengajar dan murid-murid yang diajar. Mungkin juga merancang untuk membuat kejutan kepada cikgu sempena hari lahirnya. Mungkin juga merancang untuk mencantikkan lagi kelas bersama pelajar yang lain agar motivasi untuk belajar lebih segar dan mekar. Apa yang penting, anda yang mengubah suasana menjadi menarik!

  1. JUMPA  GURU DAN SAMPAIKAN APA YANG TERBUKU DI HATI

Tidak ada gunanya untuk  anda mengkritik apatah lagi mengumpat guru anda. Malah dosa pula yang bakal berkunjung tiba. Apa yang patut anda lakukan adalah berhadapan dengan masalah bukannya lari daripada masalah.

Apa kata anda dan rakan-rakan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan guru anda. Dengan penuh kesopanan dan ketertiban, luahkan kepada guru perasaan anda dan rakan-rakan yang lain terhadap kelemahan dan kekurangan dalam suasana kelas tersebut. Jangan lupa cadangkan kepada guru apakah perubahan yang mungkin boleh dilakukan bersama-sama untuk pastikan kelas yang bosan bertukar ceria dan mengesan jiwa.

Lakukan dengan cermat dan hormat. Jangan nampakkan kepada guru itu bahawa kesalahan semuanya berpunca daripadanya. Nampakkan bahawa kelemahan suasana itu datang daripada semua dan semua perlu bangkit untuk berubah bersama.

Kalau setakat berbincang dengan rakan tanpa memberitahu guru, ia akan menjadi usaha yang sia-sia. Cuma ingat, sebagai manusia guru sememangnya ada kelemahan. Dan sebagai manusia guru juga semestinya diberi penghormatan. Luahkanlah apa yang tersimpan di hati dengan penuh kehormatan, insyaAllah penghormatan yang bakal dikembalikan kepada anda. Ingat pesan nabi, “barangsiapa yang merahmati, dia akan dirahmati.”

Akhir kata, belajarlah mengambil tanggungjawab untuk diri sendiri. Cukup-cukuplah menjadi manusia yang sentiasa menyalahkan orang lain. Untuk dunia berubah, anda dahulu mesti berubah. Dan untuk mulakan perubahan, semuanya bermula dengan minda. Ingat pesanan Abang Badr, “it’s all about your mind!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *