2015; It’s Time To Roar And Soar!

Tazkirah Motivasi

Ayuh! Kini tiba masanya untuk bangkit menjadi diri kita yang baru!!!

Categories: Announcement, Motivasi Diri | Leave a comment

Hidup Untuk Peperiksaan!

Jika keluaran yang lepas kita sudah sama-sama saksikan betapa tingginya impak terhadap percubaan pertama dalam kehidupan, kali ini Abang Badr ingin bawakan anda semua meneliti satu persoalan.

Menjelajahi ratusan sekolah bersama puluhan ribu remaja dan kanak-kanak, bermacam-macam ragam manusia Abang Badr temui. Ada yang malas belajar, kemaruk bercinta, gian ponteng kelas, suka bodek cikgu dan seribu satu lagi masalah remaja. Cuma yang ingin Abang Badr tonjolkan pada kali ini ialah masalah mereka yang hidup untuk peperiksaan.

Mereka yang mengalami masalah ini biasanya menampakkan simptom-simptom berikut :

  1. Menganggap peperiksaan dan ujian adalah segala-galanya. Gagal peperiksaan umpama runtuhnya langit dan terbelahnya bumi.
  2. Sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan ‘A’ dalam genggaman. Tiru, menipu, meletakkan nota di dalam tandas untuk dirujuk semasa peperiksaan berlangsung, berpakat bahasa isyarat dengan kawan sebelah; antara modus operandi mereka.
  3. Setiap masa dan tika, fokus mereka hanya tertumpu kepada peperiksaan, peperiksaan dan peperiksaan! Sehingga masa makan diabaikan, masa riadah tidak diendah dan yang paling menyedihkan apabila waktu solat, mulalah cari alasan nak mengelat.

 

exams-1

Dengan kata lain, golongan yang hidup untuk peperiksaan ini begitu percaya 100% dengan keupayaan dan usaha diri sehinggakan mereka terlupa perkara pokok yang paling penting.

Mereka lupa bahawa yang menciptakan kejayaan itu adalah Allah. Mereka lupa bahawa yang meminjam nikmat kemenangan itu adalah Allah. Dan mereka lupa bahawa yang menguji dengan kegagalan itu juga adalah Allah.

Hasilnya, golongan ini langsung tidak membina hubungan yang baik dengan Allah. Apa yang Allah suruh disanggah. Apa yang Allah larang dilanggar. Mana mungkin sikap ini mampu mengundang kejayaan yang hakiki!

Contoh, ada seorang mamat ni. Dia bekerja dengan seorang bos. Bos suruh dia lakukan sesuatu. Tapi dia tidak melakukannya. Tak cukup dengan itu, dia kerap datang lambat ke pejabat dan pulang terlalu awal ke rumah. Dan bahagian yang paling tidak patut dalam kisah ini adalah, pada hujung bulan, mamat ini meminta pada bosnya, “Bos, boleh tak naikkan gaji saya?” Jika anda adalah bosnya, adakah anda akan menunaikan ‘hajat murni’ si mamat ini? Tentunya tidak!

Bukankah Allah menyuruh kita untuk solat? Bukankah Allah menyuruh kita untuk mentadabbur Al-Quran, menghormati ibu bapa, menyayangi Rasulullah, mengelakkan fitnah dan memperbanyakkan amal kebajikan? Namun kita sehingga hari ini masih gagal melakukannya. Dan bersama kegagalan menunaikan tanggungjawab asas itu, kita melutut di atas sejadah bagi memohon agar diberikan keputusan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dalam peperiksaan! Tak malu ke?

Solat 5 waktu pun tidak cukup, namun di bibir terkumat kamit meminta dihadiahkan straight As dalam peperiksaan! Al-Quran dibiarkan berhabuk tidak disentuh tetapi masih ada hati memohon agar cahaya bersinar memimpin kejayaan dalam peperiksaan!  Perkataan yang paling layak untuk menyifatkan tindakan ini adalah : amat tidak patut!!

 

IMG_4317

Sama ada kita berhujah secara logik atau berlandaskan nas, ini merupakan tindakan yang amat tidak bijak. Jadi, perkara yang utama dan pertama kita perlu lakukan adalah, buat baik dengan pemberi kejayaan yakni Allah s.w.t. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

Itulah perkara yang paling asas. Sebelum bercakap pasal solat hajat, qiyamullail dan solat dhuha, molek kiranya kita muhasabah solat yang lima. Sebelum berbicara tentang surah-surah pilihan yang elok dibaca sebelum menghadapi ujian, molek kiranya kita muhasabah sama ada Al-Quran dipegang dan dibaca.

Kerana Allah s.w.t. dan para malaikatNya tidak akan bertanyakan tentang keputusan peperiksaan kita. Kerana Allah yang menghadiahkan keputusan kita yang cemerlang. Kerana Allah jualah yang menguji  kita dengan keputusan yang kurang memberangsangkan. Allah tidak perlu tahu keputusan tersebut.

Walaubagaimanapun, perkara yang bakal disoal adalah tentang apa yang anda lakukan dalam proses untuk cemerlang dalam peperiksaan. Solat tak? Berpuasa sunat tak? Jaga aurat tak? Kerana untuk apa pelajar menggondolkan semua A dalam mata pelajaran tetapi akhirnya tiada ‘A’ dalam jiwanya. Yakni akhlaqnya buruk, aqidahnya lemah dan semangatnya selembut lalang ditiup angin.

Jadi kita perlu balik ke jalan yang benar! Jangan terlalu obses dengan usaha untuk mencapai kejayaan sehinggakan tidak terjaga hubungan dengan pemberi kejayaan. Utamakan yang utama. Ingat kejayaan yang sebenar bukanlah berapa banyak A yang kita peroleh tetapi betapa bersungguhnya kita berusaha dalam mencapai kejayaan dan bertawakal kepada Yang Maha Esa.

Tuntasnya, buat baik dengan pemberi kejayaan. Masih ingat saat ayah atau ibu anda membeli basikal untuk anda? Apa yang anda lakukan sebelum ayah membeli basikal tersebut? Ya, anda buat baik terhadap ayah. Kerap memuji dan melakukan apa yang ayah suruh. Dan apa pula yang anda lakukan selepas ayah membeli basikal tersebut? Ya, ucapan terima kasih anda berikan bersama senyuman kegembiraan. Anda kemudiannya seronok bermain basikal dan juga semakin mudah untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain.

Dan hari ini anda inginkan sesuatu yang besar yakni kejayaan dalam peperiksaan. Dan kejayaan ini adalah atas kurniaan Allah kepada hambaNya yang berusaha. Apa kata sebelum anda memperoleh kejayaan tersebut, anda buat baik terhadap Allah. Puji Allah melalui solat yang khusyuk. Senyum kepada Allah dengan membasahkan bibir dengan zikir. Jernihkan hubungan dengan Allah dengan menggalakkan kebaikan dan mencegah kemungkaran (amar maaruf & nahi mungkar).

Dan apabila kejayaan sudah diperoleh, rafakkan kesyukuran anda setinggi-tingginya. Keseronokan yang dikecapi dibayar dengan amal ibadat yang semakin berkualiti. Jangan berhenti berbuat baik kepada Allah. Dan insyaAllah, kejayaan yang Allah kurniakan itu bakal mewarnai masa depan anda dengan kehidupan yang lebih bahagia.

Akhir kata, kita juga perlu sedar sedalam-dalamnya bahawa peperiksaan yang terpenting adalah peperiksaan  yang bakal dihadapi oleh setiap manusia tatkala berdepan dengan Allah selepas hayat meninggalkan badan. Semua orang sudahpun tahu soalan-soalan yang bakal ditanya di dalam kubur kelak. Tetapi tidak semua orang bersedia untuk ‘menduduki peperiksaan’ tersebut dengan jayanya.

Semua orang juga tahu tentang peperiksaan di Padang Mahsyar. Perhitungan amalan akan dilakukan dan keputusan sama ada ke syurga atau neraka akan diumumkan. Tetapi betapa ramainya manusia hari ini yang terus leka dan lalai serta langsung tidak bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan penting tersebut.

Tanyalah diri anda sendiri. Adakah anda hidup untuk peperiksaan? Dan jawapan akan tetap YA. Cuma sekurang-kurangnya hari ini anda sedar, bukan peperiksaan akademik yang terpenting. Bahkan peperiksaan yang terpenting itu anda sepatutnya sudah lama bersedia. Tetapi tidak mengapa. Lebih sedar sekarang daripada langsung tidak sedarkan diri. Jom kita bersedia untuk menghadapi ujian terbesar hidup ini. Jom kita bersedia untuk menduduki peperiksaan terpenting di alam ini. Jom kita skor A dalam peperiksaan sebenar!

Categories: Announcement, Brilliant Students Skills, Motivasi Diri | Leave a comment

Keyboard Warrior?

            Assalamualaikum dan salam perjuangan! Seusai menunaikan solat, Abang Badr menyelak helaian demi helaian naskhah Al-Quran. Perhatian Abang Badr tertaut dengan sepotong ayat yang sangat sarat dan padat dengan mesej. Sangat mendalam. Juga mencengkam jiwa bagi mereka yang menghayatinya.

            Firman Allah dalam Surah As-Soff, 2 : “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapakah kamu memperkatakan apa  yang kamu sendiri tidak melakukannya!?”    Dan Allah menyambung dengan memberi amaran betapa murkanya Allah terhadap mereka yang berbicara perkara yang mereka tidak lakukan.

            Hari ini situasinya agak berbeza. Bukan sahaja ramai di kalangan kita yang cakap tak serupa bikin malah wujudnya satu lagi golongan yang digelar ‘Keyboard Warrior.’ Anda pernah dengar istilah ini?

faster-typist

            Ia merujuk kepada mereka yang apabila di paparan skrin, merekalah juara namun apabila di pentas kehidupan, mereka tidak melakukan apa-apa! Ya, keterbukaan langit media sosial yang luas pada hari ini membuka kebebasan bersuara yang tidak terbatas. Dan ya, mereka ini menggunakan platform ini sebagai medan perjuangan ‘Keyboard Warrior!’

            Golongan ini sebenarnya ada di mana-mana. Malah Abang Badr percaya, anda sendiri pernah berdepan dengan mereka ini di ruang maya. Dan Abang Badr harap anda  tidak tergolong dalam kumpulan ini ya! Mereka ini bertindak mengikut emosi dan perasaan. Mereka tidak berbicara  dengan ilmu. Mereka biarkan jari jemari mereka menari mengikut nafsu.

            ‘Keyboard Warrior’ seringkali menulis perkara yang mereka sendiri tidak lakukan!. Memberikan peringatan tentang solat namun mereka sendiri suka mengelat. Memberikan kebaikan berpuasa tetapi diri sendiri anggap tinggal puasa Ramadhan tidak berdosa. Memberikan tips untuk berjuang walhal diri sendiri asyik berbakti kerana wang. Mereka cukup pandai  berkata-kata menerusi frasa mereka. Namun mereka jahil dalam memastikan bicara mereka terlaksana!

            Adakah kemurkaan Allah yang kita sedang cari?

            ‘Keyboard Warrior’ sering kali membuat komentar-komentar pedas. Berbicara di ruang maya seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Setiap kali orang lain berbicara dan berkongsi rasa, ada sahaja yang tidak kena. Pasti ‘Keyboard Warrior’ ini akan menyerang bertubi-tubi dengan nasihat yang tidak beralas dan tuduhan yang tidak berasas.

            Malah yang lebih teruk, golongan ini ada yang memaki hamun dan menjadikan bahasa kesat sebagai siulan di papan kekunci mereka. Adab dianak tiri, sopan santun ditolak ketepi. Yang penting, ‘Keyboard Warrior’ puas hati!

            Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?

            ‘Keyboard Warrior’ juga acap kali bertindak umpama tin kosong. Bunyinya kuat tetapi isinya tiada! Ada sahaja nak dibicarakan di ruang maya. Paparan skrin kita akhirnya penuh dengan tulisan-tulisan mereka. Langsung tidak membawa pembacanya ke depan. Malah ada juga  yang menyebabkan mereka yang membaca menjadi mundur ke belakang.

            Masa mereka terbuang dengan menulis perkara yang sia-sia. Apa yang mereka mahukan, lebih ramai orang akan ‘LIKE’ laman sosial mereka. Mereka mahu popular. Biar di luar sana  tiada apa manfaat yang disumbangkan, yang penting di alam maya mereka popular. Biar perkara yang mereka utarakan tak ramai yang suka, yang penting di alam maya mereka mula menempa nama.

            Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?

            ‘Keyboard Warrior’ turut memiliki budaya suka memberi komen berbisa. Peduli apa mereka dengan apa yang kita rasa. Yang penting apa yang mereka rasa. Mereka lebih suka complaint ini dan complaint itu. Ada sahaja isu yang nak dirunguti. Ada sahaja peristiwa yang nak diperbahaskan. Ada sahaja kisah individu yang nak dibongkari.

            Kata-kata mereka cukup berbahaya. Tusukan kalam-kalam mereka sangat berbisa. Molek kita hindari golongan sebegini. Takut nanti hati kita membenci dan menarik aura negatif dalam hidup ini!

            Adakah kemurkaan Allah yang kita cari?

            Namun ada juga yang ingin bertanya, salahkah kalau saya nak berdakwah melalui laman sosial? Apa salahnya kalau saya berkongsi perkara-perkara kebaikan? Bukankah menegur itu satu tuntutan dalam melaksanakan amar maaruf dan nahi mungkar?

            Rileks dulu. Jangan cepat melenting ye. Tak bermaksud tajuk ‘Keyboard Warrior’ ini mendesak anda untuk berhenti berdakwah menggunakan laman sosial. Maudu’ ini sebenarnya untuk memimpin kita semua menjadi berhemah dalam hidup bersosial. Malah Abang Badr sangat berbangga dengan anda semua yang kerap menggunakan kesempatan beronline di laman sosial bagi menyebarkan dakwah! Tahniah!

virtual-keyboard

            Cuma Abang Badr mohon kalau kita dapat jadikan ia medan dakwah yang baik.

  1. Apabila ada berkongsi sesuatu, pastikan anda dahulu yang mengambil mesej dan menghayati isi kandungannya. Contohnya jika anda berkongsi gambar yang berunsur tazkirah, pastikan anda memahami dan menghayati isi tazkirah tersebut. Jangan sekadar tekan butang SHARE  supaya orang nampak yang anda ini baik dan suka berkongsi benda yang baik-baik sahaja.
  2. Apabila anda mengajak orang buat baik, pastikan anda orang yang pertama yang menyahut seruan tersebut. Buat apa yang anda cakap. Kota apa yang dikata. Meskipun anda tidak sempurna, jadikan tazkirah anda sebagai motivasi untuk berubah. Bukannya alasan untuk rebah!
  3. Apabila anda melihat kemungkaran di ruang maya, cari jalan yang efektif untuk menegah. Bukannya sekadar ‘menjerkah.’ Jika anda melihat komen rakan yang tampak lari dari syarak, dekati dan tegurlah rakan tersebut dengan hikmah. Biar dia berbicara dengan biadap, anda mesti terus menjadi Muslim yang beradab! Contohilah Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah. Baginda sabar dan bijak dalam berhujah.

Akhir kata, berhati-hatilah dengan apa yang kita coret di ruang maya. Mungkin kita boleh delete  apa yang ditulis apabila orang mula memarahi kita. Tetapi kita masih perlu bertanggungjawab di hadapan Allah di hari muka. Hindari ‘Keyboard Warrior’ dan jadilah pejuang Islam yang sebenar!

Categories: Announcement, Motivasi Diri | Leave a comment

PERCUBAAN PERTAMA

                 “Ala…belum try belum tahu!”
“Cubalah dulu… Takkan takut kot? Poyolah mamat ni!”

Pernah dengar ayat-ayat ini? Ya, ayat ini selalunya digunakan oleh rakan-rakan kita apabila ingin mengajak kita melakukan sesuatu yang baru. Sesuatu yang belum pernah kita cuba. Sesuatu yang menyebabkan kita tertanya-tanya; menarik ke benda ni?

Jadi hari ini, Abang Badr nak bawa anda semua menyusuri perjalanan seorang remaja yang hebat. Perjalanan yang cukup mencabar tetapi menyeronokkan. Dan cabaran yang kita akan bincangkan dalam keluaran ini adalah CABARAN PERCUBAAN PERTAMA.

Selama ini anda cuma peka dengan peperiksaan percubaan. Tetapi adakah anda sedar bahawa setiap perkara baru yang anda lakukan adalah satu percubaan? Dan adakah anda sedar bahawa setiap percubaan yang anda lakukan itu amat memberikan kesan kepada hidup anda hari ini dan masa depan?

Untuk pengetahuan anda, ramai manusia berjaya dan gagal adalah hasil daripada percubaan pertama. Jika Abang Badr senaraikan tentu berjela-jela panjangnya. Mari kita ambil beberapa contoh sebagai asas perbincangan.

Merokok contohnya. Percaya atau tidak, sebahagian besar remaja pada hari ini ketagih merokok hanya akibat daripada sikap mahu mencuba. Apabila ditoleh ke kanan, nampak rakan merokok, ditoleh ke kiri, nampak bapa pula merokok. “Emm..tentu seronokkan merokok?” bisik hati kecil si remaja. Maka percubaan pertama pun dilaksana dengan jayanya! Mula-mula sebatang sehari. Kemudian sekotak sehari. Akhirnya, satu kartun sehari! Hasilnya? Lahirlah seorang lagi perokok tegar.

smoking-danger

Abang Badr pernah bersama dengan remaja yang merokok. Dan Abang Badr telah pelajari banyak perkara daripada remaja tersebut. Pertama, perokok sebenarnya ingin berhenti merokok tetapi mereka tidak mampu berhenti begitu sahaja. Tahu tak kenapa? Ini kerana kandungan nikotin di dalam rokok itu membina ketagihan di dalam otak perokok. Perokok tidak mampu berkata TIDAK apabila keinginan untuk merokok itu datang! Ya, mereka terpaksa merokok! Kesian kan? Tu la…Siapa suruh cuba?

Kedua, perokok sebenarnya runsing dengan duit yang terpaksa dikeluarkan untuk membeli rokok. Duit untuk dibeli buku, dibelinya rokok. Duit untuk yuran tuisyen, dibelinya rokok. Duit untuk sedekah untuk tabung masjid pun dibelinya rokok. Dan yang ‘menariknya,’ duit-duit itu pula adalah duit yang diberikan oleh ibu bapa mereka. Hisap rokok dah berdosa. Tipu duit mak ayah bertambahlah dosa. Kesian kan? Tu la… Siapa suruh cuba?

Ketiga, perokok sebenarnya ingin menampilkan imej matang, glamor dan macho. Dan untuk perokok lelaki, semestinya mereka ingin tunjuk macho kepada perempuan. Dan yang kesiannya, apabila Abang Badr membuat kajian,  remaja perempuan tak nampak pun lelaki yang merokok itu macho. Anda nak tahu apa yang mereka katakan? Ya, mereka katakan remaja lelaki yang merokok itu nampak bodoh. Sudahlah tak macho, bodoh pula tu. Kesian kan? Tu la… Siapa suruh cuba?

Jadi wahai remaja sekalian, tidakkah ini menampakkan betapa percubaan pertama itu amat mengesan hidup dan masa depan anda. Dengan mencuba perkara negatif seperti rokok, ia membawa anda terjerumus ke dalam masalah yang sukar untuk anda keluar. Dan dengan sekali cuba, anda mungkin terperangkap selama-lamanya dalam kepompong musibah. Itu baru rokok, kita belum lagi cakap pasal percubaan pertama merempit. Belum lagi kita bicara percubaan pertama mencuri di pasaraya. Belum lagi kita bentangkan betapa hodoh dan malunya kesan percubaan pertama mengambil dadah, melakukan seks bebas, menonton video lucah dan seribu satu lagi maksiat!

Biar betul

“Jadi sekarang ni, Abang Badr tak nak kami cuba apa-apa langsung ke?” mungkin ini yang bermain di minda anda. Dari awal lagi Abang Badr sudah katakan, percubaan pertama amat memberi kesan dalam kehidupan. Bagi remaja yang matang, mungkin anda sudah nampak maksud Abang Badr yang sebenar. Ya, jika percubaan pertama anda adalah satu perkara yang menjurus ke arah kebaikan, insyaAllah anda bakal menikmati kesan baik yang berpanjangan. Begitu jugalah sebaliknya.

Contohnya qiyamullail. Qiyamullail atau bangun pada waktu malam untuk beribadah merupakan satu perkara yang masih asing bagi remaja kita masa kini. Mungkin ramai yang pernah buat tetapi sepanjang pengembaraan Abang Badr, masih ramai remaja yang belum amalkan.

Bayangkan anda pada malam ini melakukan percubaan pertama untuk qiyamullail. Dengan niat untuk bangun malam, anda tidur berwudhuk bersama doa agar dipermudahkan oleh Allah untuk qiyamullail. Kemudian apabila jam anda berbunyi, anda lantas bangun mengambil wudhuk dan bersolat. Dalam kesejukan malam, anda kemudian hangatkan pipi dengan linangan air mata taubat.

Persoalannya, pada pendapat anda, apa bakal berlaku selepas percubaan pertama qiyamullail ini? Sungguh, ia pasti membimbing anda ke arah kebaikan yang lebih mantap! Betul tak?

Maknanya wahai adik-adikku sekalian, percubaan pertama itu tidak salah. Cuma anda tidak boleh sebarangan mencuba sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu. Ya, berfikir. Inilah masalah umat Islam hari ini. Malas berfikir! Fikirkanlah apa baik buruknya sesuatu perkara itu sebelum kita mengambil langkah mencubanya.

Jika anda tidak mampu berfikir, bertanyalah kepada orang yang pernah melakukannya. Jika malu untuk bertanya, perhatikanlah mereka yang pernah melakukannya. Ingat, adalah satu kebodohan yang cukup besar untuk seorang manusia apabila dia mengulangi kesilapan orang lain yang boleh dipelajarinya!

Sebelum anda mencuba, fikirkan apa kesan percubaan pertama tersebut kepada minda anda, emosi anda, fizikal anda dan spiritual anda. Adakah minda menjadi lebih cerdas? Adakah perasaan dan kasih sayang anda semakin stabil? Adakah jasad anda semakin sihat dan kuat? Dan adakah hubungan anda dengan Pencipta semakin rapat?

Jika semua aspek ini bakal menikmati manfaat, apa tunggu lagi, cubalah! Tetapi jika percubaan pertama itu bakal merobek kemuliaan keempat-empat aspek tadi, usah dihirau perkara tersebut. Banyak benda lain lagi yang anda boleh lakukan!

Jadi untuk menjadi remaja yang hebat, tidak salah untuk mencuba. Cuma berfikirlah sebelum mencuba. Ingat, percubaan pertama kesannya lama!

Categories: Announcement, Motivasi Diri | Leave a comment

Tips Bijak Berbicara – TAKUT?

IMG_3180.JPG

Categories: Announcement, Bijak Berbicara, Motivasi Diri | Leave a comment

Tips Bijak Berbicara – BLANK

IMG_3178.JPG

Kongsikan tips ini dgn rakan-rakan anda ye!

Categories: Announcement, Bijak Berbicara | Leave a comment

GENTAR BERBICARA MENGUNDANG SENGSARA

GENTAR BERBICARA MENGUNDANG SENGSARA

Assalamualaikum dan salam perjuangan! Apa khabar adik-adik Abang Badr? Harap semuanya ceria dan bersemangat untuk menjadi lebih baik daripada diri  kita yang semalam.

Episod kali ini mungkin agak berbeza berbanding dengan perkongsian yang terdahulu. Hari ini Abang Badr ingin mengajak anda semua menghitung semula kekuatan diri agar mampu mengelak daripada terjahan masalah dan mehnah pada masa akan datang.

Ya, kemahiran untuk berbicara. Ramai di antara kita yang sedar akan kepentingannya. Namun tidak ramai di antara kita yang bersungguh-sungguh dalam menguasainya. Sebagai seorang jurulatih profesional dalam bidang ini, molek kiranya Abang Badr menghurai serba sedikit permasalahan ini.

Di AMPAC, Abang Badr sering kali bertemu dengan ibu bapa yang sangat risaukan masa depan anak mereka tatkala memerhatikan keyakinan anak berada di paras rendah. Di AMPAC juga Abang Badr juga tidak boleh lari daripada  berdepan  dengan remaja dan belia yang kurang menyerlah di sekolah dan universiti akibat kelemahan mereka  berkomunikasi.

Tidak cukup dengan itu, Abang Badr di AMPAC juga acap kali menghadapi situasi yang melibatkan orang dewasa gugup dan gementar untuk berbicara dalam temuduga meskipun ijazah sarjana yang digalasnya! Sungguh, kemahiran berbicara sangat penting tetapi kita tidak pula nampak dengan jelas akan kepentingannya.

151120083646

IDEA SEKADAR IDEA, SEMUANYA SIA-SIA

Andainya anda tidak bijak berbicara, tidak kiralah anda ini kanak-kanak, remaja atau dewasa, pasti idea anda menjadi sia-sia. Mana tidaknya, apabila mesyuarat atau perbincangan berlangsung, anda sekadar kelihatan bingung. Anda mendengar dan mengangguk meskipun di minda anda sarat dengan idea bernas. Namun kebernasan idea dan kematangan buah fikiran anda itu sekadar menyanyi di otak dan terkunci di mulut. Hasilnya, perbincangan itu sekadar menjadi taklimat satu hala!

Lebih menyedihkan apabila tamatnya perbincangan, barulah anda mula berbicara dengan teman betapa idea anda sungguh hebat jika dibandingkan dengan keputusan mesyuarat sebentar tadi. Namun semuanya tidak berguna lagi kerana anda sepatutnya mengeluarkan pendapat hebat itu semasa mesyuarat berlangsung. Anda rugi,organisasi pun rugi!

Dan semua ini berlaku kerana anda gentar untuk berbicara. Anda takut untuk bangun dan menyuarakan pendapat anda. Anda gemuruh setiap kali orang melihat anda berbicara. Anda risau kata-kata anda akan disanggah oleh orang lain. Ketakutan-ketakutan kecil ini sebenarnya menyebabkan masalah menjadi sangat besar!

TEMUDUGA MENJADI MEDAN SENGSARA

Andainya anda tidak bijak berbicara, tentu sekali sukar untuk anda menghadapi temuduga. Sama ada ia temuduga kerja atau biasiswa, kekurangan anda dalam berkomunikasi akan menjadi kelemahan paling utama dan disebut-sebut di kalangan penemuduga.

Biarpun keputusan peperiksaan sehebat mana sekali pun, temuduga dilaksanakan bukan untuk menguji kehebatan akademik anda. Ia medan untuk melihat adakah anda memiki kemahiran insaniah. Ini kerana kemahiran insaniah atau softskills  ini yang bakal menjadi senjata untuk anda berjuang dalam dunia kerjaya!  Jadi, kelemahan anda menampakkan bijak berbicara dalam masa yang sama menampakkan juga anda tidak layak untuk mendapat biasiswa dan kerja!

Sekiranya anda diterima bekerja sekalipun, tanpa kemahiran komunikasi yang bagus, anda pasti bermasalah dalam memanjat tangga kerjaya. Kerjasama kumpulan tidak terbina dengan baik, hubungan dengan majikan tidak utuh dan jejambat dengan pelanggan atau klien sangat rapuh. Sungguh, anda sangat-sangat memerlukan kemahiran berbicara!

 MENUNTUT ILMU JUGA TERGANGGU

Andainya anda tidak bijak berbicara, proses anda menuntut ilmu juga terganggu. Mana tidaknya, untuk menjadi pelajar cemerlang, anda perlu banyak membuat pembentangan. Dan pembentangan anda mesti meyakinkan dan berjaya menyampaikan mesej yang ingin disampaikan.

Pelajar yang pintar tetapi tidak bijak berbicara akan terkandas pada satu tahap. Tahap yang memerlukan mereka untuk berkongsi kepintaran mereka dengan pelajar lain. Alangkah ruginya untuk mereka yang bergeliga otak tetapi tidak petah berbicara!

sakba1

KEPIMPINAN LEMAH DAN MELEMAHKAN

Andainya anda tidak bijak berbicara, anda tidak mampu memimpin dengan bagus! Dan anda perlu ingat bahawa kita semua adalah pemimpin.

Ya, sepertimana yang disabdakan oleh Nabi : “Setiap daripada kamu adalah pemimpin dan setiap daripada kamu akan disoal tentang kepimpinanmu.”

Justeru, sama ada kita mahu atau tidak, bersedia ataupun belum, kita adalah pemimpin. Dan pemimpin yang hebat tidak dapat lari daripada memiliki kemahiran komunikasi yang mantap! Pernahkah anda melihat pemimpin yang hebat berbicara? Betapa jauhnya anda untuk menjadi sehebat mereka sekiranya ada tidak bijak berbicara!

KERJA DAKWAH MENJADI SUSAH

Andainya anda tidak bijak berbicara, tugas yang kita galas sebagai pendakwah turut menjadi susah. Meskipun kita bukan ustaz atau ustazah, ingatlah sabda Nabi : “Sampaikan daripadaku walau satu ayat.” Dan hadith ini ditujukan untuk semua Muslim.

Sememangnya dakwah yang terbaik adalah menerusi akhlaq. Namun lisan turut memainkan peranan besar dalam menyampaikan dakwah. Pendakwah yang bijak berbicara mampu meninggalkan kesan mendalam kepada telinga dan hati pendegar dengan izinNya. Namun jika kita tidak bijak berbicara, dakwah kita dikhuatiri sekadar menyapu telinga dan terus berlalu tanpa menyentuh hati.

Dan jangan lupa, para Rasul utusan Ilahi semuanya memiliki kepetahan berpidato dan kelancaran berbicara. Ini merupakan senjata dalam menyebarkan risalah Allah. Maka sangat rugi untuk anda dan kita semua andai kemahiran berbicara tidak kita miliki. Islam perlukan kita. Maka lakukanlah untuk Islam!

Akhir kata, jom kita jadi seorang yang bijak berbicara! Kita elakkan musibah, kita jauhi masalah. Kita undang kejayaan, kita jemput kecemerlangan. Usah gentar berbicara kerana Islam perlukan kita!

Categories: Bijak Berbicara, Motivasi Diri | Leave a comment