Bila Perlu SABAR ?

Assalamualaikum dan salam seribu rahmat buat para pembaca semua. Pastinya semua sudah merancang apa dan kemana untuk cuti sekolah yang akan datang ini, kan? Sudah tentu betapa rapi pun perancangan dan kelengkapan yang kita siapkan pasti akan ada yang tertinggal, terlupa, anak meragam, kereta pancit dan pelbagai lagi perkara yang tak terjangka boleh berlaku dalam percutian serba indah dan perancangan serba sempurna kita. Paling kritikal, dalam waktu genting sebegitu, bagaimanakah dengan kesabaran kita?

                Artikel kali ini bukan untuk mengajar pembaca semua bagaimana mahu bersabar kerana saya juga manusia biasa yang sentiasa ada ujiannya, ujian yang berkali-kali bagaikan ingin mengusik mampukah saya bersabar?Tapi kali ini saya ingin kongsi 3 tips apa yang boleh kita buat apabila kesabaran kita sudah berada di tahap maksimum. Dalam konteks ini saya lebih suka menyentuh bab sabar dengan pasangan dan anak-anak.

  • Istighfar dan Berwuduk

wuduk-2

Paling perlu kita fahami adalah sabar itu bukan pada ketika tenang, anak-anak tak meragam dan kita pula dapat bonus yang banyak dari syarikat. Tetapi yang dikatakan sabar adalah apabila kita tersepit diuji dengan masalah sendiri ditambah pula dengan kerenah anak-anak yang bergaduh berebut mainan, markah ujian anak yang rendah, pasangan yang tiba-tiba marahkan kita tanpa kita tahu apa sebabnya. Ketika itu, bagaimanakah kita mahu mendahulukan rasional sebelum emosional? Mampukah kita fikir sejenak sebelum lisan terlajak bicara?

                Sudah pasti kita mampu dengan tips yang mudah diajarkan Nabi Muhammad S.A.W yang ringkas dan mudah. Ini juga seharusnya jadi cara untuk kita didik sifat sabar dalam diri kita. Mulakan dengan istighfar. Marah itu api, dan syaitan itu juga daripada api dan  gemar orang yang marah tanpa ada hadnya. Minta keampunan dari Allah, biasanya kita marah adalah disebabkan salah orang lain, sebelum kita salahkan orang lain dengan marah kita, istighfar dan muhasabah diri segera. Mungkin ada dosa ataupun amalan yang kita selalu buat tetapi tertinggal dan Allah nak tegur kita.

                Sekiranya masih ada rasa nak marah, cepat-cepat berwuduk kerana wuduk juga merupakan penawar bagi marah. Berwuduk itu umpama menyiram kolam hati yang dilanda api kemarahan. Sekurang-kurangnya jika perkara tersebut perlukan kita untuk tegur, kita dapat tegur dalam suasana yang baik tapi tegas kerana rasional kita waktu itu sudah tinggi. Ingat, masalah yang berlaku itu perlukan solusi, bukan ketidakstabilan emosi.

  • Diam, Duduk dan Renung

27971636_1606536279402296_4647534856192946454_n

Tips yang kedua ini antara yang sering saya amalkan kerana saya jenis yang mudah melenting, jadi saya latih diri saya bila ada masalah kecil ataupun besar antara saya dan pasangan dan saya memang sudah sampai tahap untuk naikkan suara, saya akan diamkan diri untuk seketika, dan alihkan fokus saya pada perkara lain. Sekiranya ketika itu saya sedang berdiri, saya akan cepat-cepat duduk, dan ini juga yang disarankan Rasulullah S.A.W jika kita marah.

Selalunya bila kita marah dan diamkan diri, syaitan masih akan mainkan peranannya lagi dengan bisikkan pelbagai perkara supaya apa yang keluar dari mulut kita ketika itu adalah untuk saling menyakiti hati satu sama lain, saya percaya ramai pembaca pernah mengalami situasi seperti ini. Saya juga mengalami keadaan yang sama, dan ketika saya diamkan diri, saya akan terus renung kepada punca kenapa saya nak marah sebentar tadi dan adakah dengan saya marah kepada pasangan saya, apa yang kami tidak sependapat tadi akan selesai? Paling menakutkan ialah apa kesan terhadap hubungan tidak kira kita dengan pasangan, dengan keluarga atau dengan kawan-kawan? Banyak perkara boleh kita jaga sekiranya marah itu dapat kita kawal dan yang berfungsi adalah akal.

  • Senyum dan Minta Maaf

27867093_1606534492735808_3601590736045846028_n

Yang ketiga ini menyebutnya sangat mudah tetapi untuk melaksanakannya hampir mustahil. Tetapi senyum mempunyai kuasa yang sangat luar biasa. Ini kerana menurut kajian sains, senyum akan merembeskan hormon serotonin yang dapat membuatkan tubuh badan kita lebih rileks dan selesa dan stress juga dapat dikurangkan apabila kita senyum. Bayangkan dalam keadaan marah, kita mampu diam tanpa membalas dengan ayat yang lebih memarakkan kemarahan ditambah pula dengan senyuman ikhlas semanis madu! InsyaAllah, bukan kita sahaja tidak jadi marah tetapi juga pasangan kita pun terbantut proses marah mereka.

                Apa kata kita harmonikan terus keadaan tegang ini. Bagaimana? Lembutkan hati dan rendahkan ego, jangan fikir panjang dan terus minta maaf pada pasangan kita. Tidak kira siapa yang mula dan siapa yang salah, kita minta maaf dahulu, selepas keduanya tenang dan harmoni, bolehlah kita berbincang dan selesaikan isu tadi dengan lebih rasional dan solusi yang kita hasilkan insyaAllah lebih membahagiakan.

                Ini adalah serba sedikit perkongsian daripada saya melalui pengalaman dan pembacaan saya. Harapan saya semoga hubungan kita bersama lebih erat dan bahagia. Masalah tetap akan singgah dalam mana-mana hubungan dan organisasi, tetapi yang penting sebagai manusia yang Allah kata ‘sebaik-baik ciptaan’ seharusnya kita juga mencari sebaik-baik penyelesaian. Wallahua’lam

LUQMAN NURHAKIM BIN MOSNI
Eksekutif Operasi AKADEMI MEMBANGUN POTENSI ANAK CEMERLANG (AMPAC)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *