Destinasi Percutian Sempena Cuti Sekolah! PERAK DARUL RIDZUAN!

Assalamualaikum semua. Cuti sekolah dah makin dekat kan? Mesti ada yang dah terbayang nak bercuti di mana tahun ini. Tahukah semua yang negara tercinta kita juga mempunyai tempat-tempat percutian yang menarik? Bukan sekadar pemandangan yang cantik, malah banyak benda yang boleh dipelajari di sana. Kali ini, Abang Yien nak berkongsi dengan semua 3 destinasi percutian menarik sambil belajar yang ada di Perak.

Pulau Pangkor

Lokasi pulau memang tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Di Perak, ada Pulau Pangkor. Selain Pulau Langkawi di Kedah, Pulau Pangkor merupakan pusat pelancongan paling terkenal di barat Semenanjung. Pulau Pangkor menyediakan pelbagai aktiviti tepi pantai & laut seperti snorkeling, menyelam dan aktiviti santai.

Pulau Pangkor juga terkenal dengan Kota Belanda yang mempunyai sejarah yang penting buat negeri Perak. Kota Belanda merupakan sebuah kubu peninggalan daripada kolonis Belanda yang berusia 300 tahun!

Muzium Taiping Perak

Muzium Taiping merupakan muzium yang tertua di Malaysia. Dibina pada 1883 dan menempatkan pelbagai barangan dan artifak sejarah Melayu. Seni bina muzium ini adalah unik kerana dipengaruhi oleh kesenian orang Inggeris dan Moor India. Lebih menarik lagi, bahan seperti putih telur, kirisan kulit kerang dan bancuhan simen digunakan sebagai bahan pembinaan yang dikatakan mempunyaidaya tahan struktur yang lebih lama.

Antara bahan pameran yang ada adalah koleksi spesimen binatang, tengkorak haiwan dan koleksi tembikar tanah yang tiada di tempat lain. Malah, ada koleksi pameran yang berusia ratusan tahun! Dahsyat kan? Lebih menarik lagi, muzium ini juga mempunyai beberapa mural 3D yang boleh dijadikan kenangan.

Zoo Taiping

Zoo Taiping adalah lokasi yang menarik yang menempatkan lebih 1000 ekor haiwan daripada 140 species yang diimport dari dalam dan luar negara. Banyaknya! Kalau adik-adik suka tengok binatang, di sini adalah tempat terbaik untuk melihat haiwan-haiwan liar seperti harimau, gajah, buaya, dan banyak lagi.

Lokasi zoo ini sendiri adalah unik kerana terletak di tempat yang kaya dengan kehijauan alam semula jadi. Suasana di dalam zoo ini penuh dengan pokok-pokok yang membuatkan kita lebih selesa untuk berjalan di bawah redup pokok. Tapi kalau dah penat, pengunjung juga disediakan perkhidmatan tram secara percuma.

Yang paling istimewa dengan zoo taiping adalah sesi malam ataupun Night Safari. Ketika siang, ada sesetengah haiwan yang pasif dan hanya aktif sewaktu malam menjelma. Jadi kalau nak tengok haiwan tersebut aktif, masuk lah zoo waktu malam ni. Cuma pesanan ialah tidak membawa lampu suluh atau menggunakan kamera ber’flash’ supaya tidak menakutkan haiwan-haiwan tersebut.

Jadi ini adalah antara tempat-tempat menarik yang terdapat di Perak yang boleh dijadikan lokasi untuk bercuti sambil belajar. Bercuti sambil memperkembangkan minda dengan ilmu. Pastinya cuti kita akan lebih menarik. Selamat bercuti.

 

Jom bercuti sambil kembangkan minda

Abang Yien (Oghang Perak)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *