BATAS AURAT DAN PERGAULAN Dalam Keluarga. Satu Peringatan!

Belakangan ini, tular perbuatan-perbuatan sumbang di media elektronik dan juga media cetak perilaku-perilaku ‘haruan makan anak’, seks, liwat, gangguan seksual dan pelbagai lagi perlakuan di luar tabie yang berlaku dalam keluarga sendiri, seolah-olah perbuatan tersebut sudah menjadi lumrah sehingga tiada lagi perasaan gerun, marah, simpati dan takut dalam kalangan masyarakat abad ini.

Sungguh merisaukan!

Hal ini berlaku demikian adalah disebabkan oleh trend pemakaian yang mendedahkan aurat oleh kaum hawa itu sendiri juga pergaulan tanpa batasan di antara ayah dengan anak, abang dengan adik, cucu dengan atuk dan sebagainya.

Ya! Ada aurat yang perlu dipelihara baik daripada dilihat dan ada batas-batas pergaulan yang perlu dijaga walaupun bersama dengan keluarga sendiri.

Aurat berasal daripada perkataan arab iaitu aurah yang membawa maksud aib, menurut istilah fiqh pula aurat membawa maksud bahagian tubuh badan yang tidak boleh dilihat, wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan.

Aurat yang perlu ditutup dan dipelihara daripada pandangan keluarga adalah seperti berikut ;

1) Aurat anak perempuan dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram untuk dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut.

2) Aurat anak lelaki dengan ibu bapanya dan adik beradiknya yang haram dikahwini adalah daripada pusat hingga ke lutut

3) Aurat perempuan dengan sepupu-sepupunya lelaki yang halal untuk dikahwini adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

4) Aurat adik ipar dengan abang ipar adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan.

Mahram adalah perkataan dalam Bahasa Arab yang membawa maksud orang yang haram dikahwini oleh sebab fitrah yang menjadikannya seperti demikian.

Muhrim pula bermaksud mereka yang berada dalam ihram ketika melakukan umrah dan haji dan dilarang melakukan beberapa perkara untuk mengelakkan daripada terbatalnya ibadah umrah dan haji tersebut. Perkataan muhrim ini seringkali disalah ertikan ketika kita mengungkapkan tentang mahram.

Jangan Sentuh, inilah antara tajuk yang terdapat di dalam sebuah buku subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, yang mendedahkan kepada para pelajar tahun satu tentang bahagian- bahagian yang tidak boleh disentuh oleh orang asing.

Antara bahagian yang tidak boleh disentuh oleh orang asing adalah bahagian mulut, dada faraj, zakar juga punggung.

Walaubagaimanapun, pendedahan ini perlu diperincikan lagi apabila anak-anak bersama dengan ahli keluarga bahagian mana yang tidak boleh disentuh dan dilihat oleh keluarga itu sendiri untuk mengelakkan daripada berlakunya sumbang mahram.

Bahagian aurat anak-anak dengan ibu bapanya adalah daripada pusat hingga ke lutut, akan tetapi untuk bahagian dari pusat dan ke atas juga hendaklah ditutup baik sebagai tanda malu seorang hamba dan juga mengelakkan daripada pandangan yang menimbulkan syahwat.

Pengasingan tempat tidur antara ibu bapa dan anak-anak yang telah Islam anjurkan juga wajar diberikan perhatian utama , kerana setiap yang telah Islam ajarkan pasti ada hikmah yang logik yang perlu kita akur pada akhirnya. Pemisahan tempat tidur antara ibu bapa dengan anak adalah apabila anak-anak mencapai umur 10 tahun.

Kisah benar yang didapati daripada media sosial belakangan ini, luahan daripada seorang ibu yang bertanyakan soalan bagaimana beliau mahu memisahkan tempat tidur suaminya dengan anak perempuannya yang berumur 14 tahun dek kerana si ayah lebih selesa dan sering kali tidur di bilik tidur anak perempuannya itu, beliau terkejut apabila mahu mengejutkan suaminya untuk solat subuh pada keesokan harinya beliau melihat anak perempuannya berada dalam pelukan si ayah dan tangan si ayah berada di atas dada anak perempuannya.

Hal demikian berlaku apabila kita jahil tentang ilmu pendidikan awal kanak-kanak yang telah islam terapkan sejak dari awal lagi, buku tebal yang memperincikan satu persatu pendidikan awal kanak- kanak daripada Sheikh Abdullah Nasih Ulwan sungguh jelas sekali metodologi yang digunakan untuk menanam aqidah islam yang benar dalam jiwa anak-anak sehingga melahirkan anak-anak yang berjiwa rabbani.

“Maksud dari pendidikan sosial anak adalah mendidikan anak sejak dini untuk komit dengan etika-etika sosial yang baik dan dasar-dasar jiwa yang luhur, yang bersumber dari akidah islam yang abadi dan perasaan iman yang dalam. Dengan demikian si anak dapat hidup di masyarakat dengan pergaulan dan adab yang baik, pemikiran yang matang dan bertindak secara bijaksana” Abdullah Nasih Ulwan.

Tuntasnya, pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan Islam perlu diambil peduli dan usah memandang enteng sehingga kita leka dan lalai dan akhirnya kita hanya tersedar apabila nasi sudah menjadi bubur….nau’zubillahi min dzalik.

 

Yang saling ingat mengingati,

Kak Syaf

AMPACoach Penang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *