3 Cara Menghafaz Al-Quran Sewaktu Cuti Sekolah! No.3 Selalu Dipandang Ringan!

Assalamualaikum dan salam kerahmatan kepada semua. Pastinya para ibu bapa masih merancang ataupun sudah mempunyai perancangan untuk anak-anak anda sempena cuti sekolah hujung tahun ini. Pelbagai program dan perkhemahan ditawarkan untuk mengisi cuti sekolah anak-anak anda dengan aktiviti yang bermanfaat. Antara yang popular adalah program tahfiz atau hafazan Al-Quran. Di sini saya ingin berkongsi 3 tips mudah yang anda boleh terapkan  kepada anak-anak anda untuk menghafaz Al-Quran sempena cuti sekolah ini.

1. MULAKAN DIWAKTU PAGI

Pagi adalah waktu yang terbaik untuk anak-anak kita menghafaz. Jika anak anda sukar bangun pagi dan gemar tidur selepas subuh, mungkin kerana mereka tiada agenda untuk dilakukan sebelum ini, jadi cuti sekolah ini adalah masa terbaik untuk mendisiplinkan mereka dengan aktiviti hafazan yang berterusan.

Pada mulanya mungkin sedikit payah tapi latihan ini akan menjadi kebiasaan yang baik bagi anak anda untuk terus mencari  Al-Quran pada waktu pagi untuk hafazan mahupun bacaan. Waktu hafazan tidak perlu terlalu lama, mulakan dengan 1 jam sehari, supaya mereka dapat terus melakukan aktiviti mereka yang lain selepas itu. Yang penting ialah mulakan.

2. TETAPKAN SASARAN, ULANG, ULANG DAN ULANG!

Sasaran perlulah yang boleh dicapai oleh anak anda dan tidak terlalu membebankan sehingga mereka hilang minat untuk menghafaz. Seperti contoh jika tempoh cuti sekolah panjang, ambil surah-surah panjang dalam Juz ‘Amma contohnya untuk dihafaz oleh anak-anak anda.

Beri mereka kejutan dengan ganjaran mengikut kesesuaian supaya ganjaran tersebut menjadi pembakar semangat untuk anak anda terus-menerus menghafal Kalamullah ini. Belanja mereka makan, bawa mereka berjalan, atau berikan buku sebagai ganjaran mereka. Mereka tentu lebih teruja untuk menghafaz lagi!

Saya juga ingin berkongsi 1 tips mudah yang saya dapatkan dalam perjalanan saya menghafaz Al-Quran, iaitu pengulangan yang sistematik. Bagaimana? Mulakan dengan membaca ayat yang ingin dihafal sehingga betul tajwidnya, kemudian ulang bacaan sehingga 5 kali kemudian tutup Al-Quran dan cuba ulang sebanyak 5 kali pula. Proses ini mesti dilengkapkan cukup 60 kali membaca sambil membuka dan menutup Al-Quran. Sekiranya ayat terlalu panjang pecahkan kepada beberapa bahagian untuk memudahkan bacaan dan hafazan. InsyaAllah, walaupun sedikit lambat tetapi hafazan dengan cara ini lebih berkekalan.

3. TERJEMAH UNTUK LEBIH MUDAH!

Al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab yang pastinya memerlukan pembelajaran untuk memahami isi kandungannya. Salah satu cara utama dalam menghafaz Al-Quran yang diterapkan semasa pembelajaran di Maahad Tahfiz Al-Quran Hira’ dahulu adalah dengan merujuk setiap ayat dengan terjemahannya. Kaedah ini bukan sahaja membantu kita lebih faham ayat Allah yang dihafaz, bahkan membuat kita rasa lebih dekat dengan peristiwa dan pengajaran yang disampaikan dalam Al-Quran itu sendiri.

Lebih mudah menghafaz menggunakan kaedah ini sekiranya ayat atau surah tersebut memang sebuah cerita seperti surah Yusuf dan surah Al-Kahfi yang terdiri daripada beberapa cerita utama.  Memahami ayat yang dihafaz akan lebih memudahkan anak anda menyambung ayat seterusnya dalam hafazan mereka ketika mengulang kerana mereka sudah mendapat gambaran tentang apa yang berlaku dalam ayat hafazan mereka. Ini menjadikan anak anda tidak lagi hanya menghafaz begitu sahaja kerana mereka sudah berada dalam sebuah pengembaraan!

JINAKKAN ANAKMU DENGAN AL-QURAN

Al-Quran harus dijadikan kebiasaan daripada kecil supaya ke mana sahaja mereka pergi dan bersama, Kalamullah ini menjadi pendinding mereka kelak. Jika kita sekeluarga masih tidak biasa dengan Al-Quran, jadikan cuti sekolah ini langkah pertama untuk kita dekat dengan Al-Quran. Mulakan dengan belajar bacaannya dan dari situ teruskan dengan membudayakan penghafazan terutamanya dalam diri anak-anak kita. Al-Quran tidak pernah perlukan kita bahkan kitalah yang perlukan Al-Quran.

Akhir kata, cuti sekolah ini, ayuh kita penuhkan dengan aktiviti yang memberi pulangan yang terbaik untuk anak-anak kita untuk masa hadapan, dan sentiasa pastikan dalam setiap hari itu Al-Quran menjadi penyeri hari anda supaya setiap yang dilakukan dijaga dan dirahmati oleh Allah S.W.T.

Mari jadi Brilliant Student yang mantap Quran!

Dikongsi dengan rasa cinta Al-Quran:

ABG BO

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *