Cipta Hobi Baru Sewaktu Cuti Sekolah! Point Ke-3 Mesti Ibu Suka!

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Soalan ini sangat penting :

Ibu bapa dah sediakan aktiviti untuk anak-anak cuti sekolah ini?

Cuti sekolah kian hampir dan inilah masanya untuk ibu bapa sediakan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat untuk anak-anak. Apakah aktiviti yang boleh dibuat bersama anak-anak sepanjang cuti sekolah mereka?

Saya cadangkan untuk  anda  lakukan aktiviti bersukan atau riadah ataupun mencipta hobi yang baru bersama  anak-anak anda.

Kenapa bersukan atau riadah?

Aktiviti bersukan atau riadah merupakan salah satu amalan gaya hidup sihat. Bersukan atau beriadah ini juga dapat menenangkan fikiran sekali gus dapat menyihatkan tubuh badan kita dan juga anak-anak kita. Aktiviti ini juga dapat dijadikan satu aktiviti amalan mingguan keluarga anda.

Ia merupakan sebuah aktiviti ‘bonding’ yang murah, mudah dan mencapai matlamat!

Aktiviti bersukan atau riadah membolehkan kita mengisi masa lapang anak-anak sama yang berfaedah mahupun yang tidak berfaedah. Contoh yang tidak berfaedah ialah menonton televisyen, bermain permainan video, menghabiskan masa di pusat membeli-belah, dan sebagainya.

Masa cuti yang tidak diisi dengan aktiviti yang berfaedah akan merugikan kita. Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga adalah seperti berbasikal, berjoging di taman, dan juga berkelah di tepi pantai dan banyak lagi. Banyak faedah yang boleh kita dapati apabila kita bersukan dan beriadah bersama keluarga.

Bagaimana pula dengan mencipta hobi baru bersama anak-anak?

Mencipta hobi baru pula anda boleh cuba untuk cari hobi yang mana hobi tersebut merupakan sesuatu yang kita dan anak-anak minati. Pastikan ada sesuatu yang baru yang mana anda atau mereka dapat pelajari.

1. Antaranya ialah aktiviti menyediakan snek ringkas (bebola ayam, cupcakes, snek sayuran), membaca al-Quran dan hadith, menghafaz ayat-ayat lazim, menonton filem kegemaran yang mempunyai nilai-nilai murni, membaca dan melukis (di atas kertas atau pada wajah).

2. Selain itu, ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak bercucuk tanam dan berkebun di halaman rumah masing-masing. Bagi mereka yang mempunyai ruang di luar rumah, mulakan satu projek bercucuk tanam bersama-sama. Tanamlah sayuran kegemaran atau bunga-bungaan dan belajar bersama membuat baja kompos. Aktiviti ini dapat memenuhi masa lapang semasa cuti sekolah dan juga mendekatkan diri kepada alam.

3. Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak untuk lakukan ‘Spring Cleaning’. Ajak mereka membantu mengemas rumah, bermula dengan bilik mereka. Tanyakan jika mereka mempunyai barang-barang yang tidak digunakan dan apa yang mereka ingin lakukan terhadapnya.

Minta anak-anak untuk memeriksa barangan mereka sendiri. Anda boleh mencadangkan untuk menderma barang-barang yang masih baik tetapi tidak diperlukan lagi kepada pusat kitar semula atau kepada sesiapa yang memerlukannya.

4. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak untuk melawat mereka yang kurang bernasib baik. Ambillah peluang ini untuk menerapkan rasa prihatin mereka terhadap mereka yang kurang bernasib baik. Bawa mereka melawat golongan ini, sama ada rakan-rakan mereka sendiri atau mana-mana pusat penjagaan seperti rumah orang-orang tua dan anak-anak yatim.

Anjurkan kepada mereka untuk membawa sedikit buah tangan atau minta mereka untuk memilih aktiviti apa yang mereka ingin lakukan di sana. Aktiviti seperti ini dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak tersebut dan memberikan keinsafan kepada mereka dan juga diri kita sendiri.

Sebenarnya ada banyak lagi aktiviti yang boleh dijalankan bersama anak-anak semasa cuti sekolah mereka. Bagi yang telah pun membuat perancangan awal, syabas anda merupakan ‘Brilliant Parents’.

Manakala mereka yang belum membuat perancangan, anda boleh merancang kewangan untuk menghantar mereka ke kelas-kelas kemahiran yang berbayar seperti kelas renang, memanah, berpidato dan sebagai. Namun apa jua pilihan anda, saya doakan anak-anak anda semua dapat menikmati cuti sekolah mereka dengan gembira dan mendapat manfaat dari aktiviti yang dijalankan.

Semoga artikel ini sedikit sebanyak dapat menbantu anda merancang aktiviti bersama anak-anak anda semasa cuti persekolahan kelak.

 JADIKAN ANAK-ANAK ANDA SEBAGAI TEMAN BAIK ANDA, TEMPAT UNTUK MEREKA KONGSIKAN SEGALA ISI HATINYA.

 

Yang sentiasa muda,

 NUR SHAZWANI BINTI ISA.

(AMPAC PENANG)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *