Jangan Masuk Universiti (Kalau…)

Biarpun tajuk  ini tampak pelik, Abang Badr terasa lebih jelik dengan sikap sesetengah golongan remaja dan belia pada hari ini. Mereka yang  berjaya menempatkan diri di menara gading namun bertindak dan bergerak seperti tiada taring. Langkah mereka  silap, tenaga mereka cungap. Kesalahan demi kesalahan yang dibuat akhirnya menyebabkan  ilmu yang diburu tak dapat, masalah yang patut dielak datang tak putus-putus. Perkara yang paling menyedihkan adalah kerana mereka membela sikap yang tidak sepatutnya wujud dalam jiwa mahasiswa cemerlang.

Jadi Abang Badr ingin menasihatkan awal-awal, jangan masuk universiti kalau anda tidak melakukan perkara yang sepatutnya mahasiswa cemerlang lakukan!

JANGAN MASUK UNIVERSITI KALAU…

1.     Berperangai tidak matang.

 Ramai di kalangan mahasiswa hari ini yang berkelakuan tidak matang. Ada yang langsung tiada wibawa untuk dipanggil mahasiswa. Mana tidaknya, sikap tidak berdikari terlalu menonjol mengalahkan pelajar sekolah rendah.

Segalanya mengharapkan pensyarah. Sehinggakan budaya universiti hari ini terpaksa mengikut kaedah sekolah menengah. Pelajar masuk kuliah tanpa apa-apa bacaan awal apatah lagi kajian sendiri. Sesudah kuliah menantikan nota dan segala jenis sokongan daripada pensyarah. Mana mungkin kematangan dalam memburu ilmu dapat disemai. Kemanjaan inilah yang membunuh potensi diri remaja dan belia kita di menara gading.

Tidak cukup dengan hidup bersuap, masih ramai mahasiswa yang kononnya penuntut universiti tetapi masih berlegar-legar dalam menentukan matlamat hidup. Apa yang mereka tahu, selepas sekolah menengah mesti masuk universiti. Selepas universiti, kerja makan gaji. Langsung tidak ada usaha dalam membina matlamat dan menjana impian yang hebat-hebat. Akhirnya apabila masuk ke alam pekerjaan, langsung tidak mampu bersaing apatah lagi untuk naik pangkat dengan potensi sendiri!

 2.    Sekadar hebat di atas kertas

Minta maaf ye adik-adik sekalian. Dunia hari ini bukan milik ulat buku lagi. Hari ini dunia mahukan mereka yang hebat dalam serba serbi! Ya, kecemerlangan akademik tanpa ditemani kecemerlangan ko-kurikulum menjadikan anda sama sahaja seperti produk-produk universiti lain.

Keputusan peperiksaan subhaanallah, cukup membanggakan. Kemahiran komunikasi dan kepimpinan pula masyaAllah, cukup menakutkan!

Ramai yang hanya menatap buku untuk lulus peperiksaan dalam jurusan yang diambil. Hanya segelintir yang membaca buku tambahan untuk berjaya dalam mengendalikan hidup dan memantapkan potensi diri.

Ramai yang hanya bertandang ke kuliah untuk menguasai ilmu. Hanya segelintir yang keluar berprogram untuk menyumbang ilmu.

Akhirnya yang ramai cuma hebat di atas kertas. Namun tidak mampu mendepani dunia yang luas!

 3.                  Lemahnya disiplin dan lembiknya iman

Minta maaf sekali lagi ye adik-adik sekalian. Sangat ramai mahasiswa di luar sana yang lemah disiplinnya. Meskipun pernah hebat di sekolah satu ketika dahulu, namun setibanya di alam menara gading, kehebatannya lupus entah ke mana. Maklumlah di universiti ini tidak ada ibu yang memantau dan tiada warden yang kononnya mengacau. Maka disiplin yang lemah terus merosakkan kehebatannya.

Boleh ponteng kuliah sesuka hati. Tidur lewat kerana bermain games sampai ke pagi. Solat jumaat pun dah pandai menghilangkan diri.

Belum lagi menyentuh bab-bab yang lain. Tiru dalam peperiksaan, ber’couple’ dan plagiat ketika menyiapkan tugasan. Semua ini akibat lemahnya disiplin dan lembiknya iman.

Jika beginilah sikap mahasiswa, lebih baik berikan peluang ini kepada mereka yang betul-betul layak dan teguh prinsip hidupnya.

Wahai mahasiswa dan mahasiswi harapan pertiwi, ingatlah pesan Abang Badr ini :

Bergerak pantas dalam melaksanakan tugasan, amanah dan perkara penting dalam kehidupan anda. Berperanglah dengan hawa nafsu dan syaitan yang pasti akan mengikat lehermu untuk sujud kepada sifat bertangguh dan malas berusaha. Lawan dan terus lawan.

Setiap kali anda terasa malas dan putus asa, cepat-cepat tukar suasana. Duduklah dengan kawan yang positif dan serap aura positifnya. Keluarlah dari bilik mu dan tujulah ke arah perpustakaan yang lebih seronok suasana belajarnya. Tukarlah kaedah belajar andai mata sudah mengantuk dan minda sudah bosan.

Asalkan anda pantas mengambil tindakan, insyaAllah pantas juga hasilnya mendatang. Inilah maksudnya proaktif. Fast action, fast result!

 Izinkan diri anda didedahkan dengan pelbagai program universiti dan dalam masa yang sama anda juga menguasai pelajaran. Ya, seimbangkan! Walaupun dengar seperti sukar, tetapi percayalah dengan kemampuan anda, insyaAllah anda boleh mencapai kejayaan dalam kedua-dua bidang serentak! Anda kan mahasiswa? Sememangnya bijak cuma kadangkala terlalu memanjakan diri sehingga lenyap potensi, runtuh prestasi.

Maka  hidup itu biarlah berjadual. Dan selepas berjadual, berdisiplinlah dengan jadual tersebut. Jika tidak, jadual hanya tinggal jadual. Berhabuk. Usang. Jadi bahan ketawa semata. Disiplin adalah tunjang utama dalam hidup orang berjaya!

Asalkan niat anda berprogram adalah untuk redha Allah dan meningkatkan kemahiran diri, percayalah ia sangat-sangat membantu anda dalam memburu kerjaya, membina kerjaya dan membentuk hidup yang bahagia! Pengalaman dapat, kepimpinan terbina, komunikasi hebat dijana!

Bersungguh-sungguhlah dalam memburu ilmu. Jangan terlalu mengehadkan ilmu yang tertera di buku. Keluarlah mencari mutiara ilmu di mana sahaja yang sesuai. Rajinkan ke masjid mendengar kuliah, ringankan kaki ke auditorium mendengar ceramah, tadahkan telinga di radio dan CD berkonsep kuliah dan jadikan ia satu budaya yang istiqamah!

Asalkan ilmu yang dituntut  diberkati Allah, percayalah, konvokensyen anda nanti bukan sekadar melahirkan anda dengan gulungan diploma atau ijazah tetapi juga menjadikan anda yang berilmu dalam serba serbi. Maka terhapuslah generasi ulat buku yang sekadar hebat dalam ilmu yang terukir di buku tetapi jahil dalam pengetahuan yang praktikal dan ilmu agama yang menjamin kejayaan duniawi dan ukhrawi.

4.      Maaf anda tidak perlu lagi berkawan dengan mereka.

Siapakah mereka? Golongan yang  tidak mendorong anda ke depan. Malah mereka  inilah yang merantai anda dan menarik jatuh ke belakang. Ingat, masa depan anda di tangan anda. Usah dibiarkan tangan-tangan kotor cuba ‘mencorakkan’ masa depan  anda yang kelam!

Pilihlah kawan yang boleh menjadi sahabat tatkala  suka dan duka. Insan yang mengingatkan kita ketika lalai dan menghargai peringatan kita apabila dia cuai. Insan yang bermotivasi agar kita nanti turut diinspirasi. Jika anda tidak menjumpai rakan seperti ini, anda dahulu perlu berubah untuk memiliki sifat seperti yang Abang Badr sarankan. Pasti anda akan menarik rakan-rakan yang bersifat sama seperti anda, insyaAllah!

Asalkan persahabatan anda itu demi keredhaan Allah dan mendatangkan ganjaranNya (bukan bercouple), percayalah, kuasa tindakan anda menjadi sangat tinggi dan membantu anda menjadi mahasiswa cemerlang yang sejati!

 

PENUTUP

Tuntasnya, Abang Badr mahu ingatkan adik-adik sekalian bahawasanya universiti itu lubuk ilmu pengetahuan dan ladang pengalaman serta ruang membentuk kemahiran. Namun andai anda tidak melakukan perkara yang sepatutnya di tempat yang sangat bermanfaat ini, sia-sia sahaja kehadiran anda. Malah mungkin juga anda menodai kesucian tempat menuntut ilmu itu dengan kotoran sikap mahasiswa kecundang.

Jangan masuk universiti kalau sekadar mahu rosakkan imej menara gading dan merobohkan masa depan sendiri! Jom jadi mahasiswa cemerlang!

Dikongsi Dengan Penuh Prihatin Oleh :
ABG BADR
Master Trainer AMPAC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *