STRAIGHT A Exam Atau STRAIGHT A Adab?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua. Mari kita rafa’kan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas nikmat iman dan nikmat Islam dan kita masih diberi peluang untuk bernafas pada hari ini.

11012872_10206190953391314_6818298226467557886_o

Straight A adab? Apa tu? Tak pernah dengar pun. Mengapa perlu Straight A? Bukankah Straight A hanya untuk mata pelajaran di sekolah sahaja? Nah, di sini kita akan berbicara mengapa perlunya Straight A dalam beradab.

Apa maksud adab?

Istilah adab dapat difahami sebagai tingkah laku yang sopan, yang hemat dan berbudi pekerti. Perilaku yang beradab diiktiraf sebagai mulia di dalam Islam.  Adab bukanlah dicipta secara semberono untuk kepuasan nafsu manusia semata tetapi ia adalah berlandaskan Al-Quran dan hadis. Hatta dalam Rukun Negara kita sendiri menekankan tentang kesopanan dan kesusilaan. Jadi mengapa mesti kita tidak beradab?

Dengan siapa kita harus beradab?

Adab bukanlah hanya eksklusif untuk sesama manusia sahaja bahkan kita dianjurkan supaya beradab dengan segala makhluk ciptaan Allah seperti haiwan dan alam sekitar. Kita boleh lihat betapa indahnya Islam dengan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kehidupan seharian dengan adanya pelbagai doa sebagai suatu kebergantungan kita kepada Allah dalam kehidupan. Islam juga telah menggariskan pelbagai garis panduan di dalam kehidupan kita bagaimana menjadi insan cemerlang. Sebagai contoh doa harian seperti doa melihat wajah di cermin dan sunnah memulai perbuatan dengan anggota kanan dan diakhiri dengan anggota kiri yang kita kadang-kadang ambil remeh. Kita tahu dengan membaca doa melihat cermin kita akan bersyukur dengan kejadian diri kita. Tapi, apa relevannya pakai kasut dengan kaki kanan dan seterusnya kaki kiri? Jawapannya ialah supaya kita semua tertib di dalam perlakuan dan untuk kemudahan kita juga. Kasut tersusun kemas, mata pun tidak serabut memandang. Ya kan?

Orang sekarang kurang beradab?

Benarkah? Teringat kata-kata seorang chef terkenal tanah air berkenaan isu adab. Beliau sangat terkesan dengan sikap orang zaman sekarang yang sudah hilang adabnya, yang lebih mementingkan diri sendiri dan tidak sensitif terhadap orang lain. Ada yang di sekolah boleh dikatakan semua mata pelajaran cemerlang, aktif bersukan dan berpersatuan tetapi, adabnya entah ke mana. Berselisih dengan guru tidak memberi salam, bercakap perkataan yang kasar dan apabila pulang ke rumah kasut disepak merata. Adakah kita tergolong dalam golongan yang sama seperti itu? Harap-harapnya tiadalah ya kerana kita sebagai Brilliant Student pasti adab kita brilliant juga kan?

Checklist adab

Mari kita sama-sama renungkan ada tak kita membaca Bismillah apabila memulakan sesuatu hari ini? Ada tak kita berhemat dalam menggunakan barangan yang bukan milik kita seperti pen yang dipinjam daripada kawan? Sudahkah kita senyum dan memberi salam kepada ibu bapa, guru atau kawan-kawan kita hari ini? Jika semuanya anda sudah lakukan, maka anda adalah insan yang hebat dan teruslah menjadi hebat! Jika belum, masih ada masa untuk kita berubah ke arah kebaikan. Yang penting anda yang perlu mulakan dulu.

Jom beradab

Kita tidak perlu tuding jari sana dan sini menyalahkan sesiapa dengan isu adab ini. Yang kita perlu muhasabah adalah diri kita sendiri. Pernah tak orang melayan kita dengan baik dan perasaan kita gembira pada hari itu? Itu menunjukkan jika kita beradab dengan orang lain, mereka juga akan beradab dengan kita. Cara mudah untuk menyebarkan dakwah adalah melalui perlakuan yang ditunjukkan kepada orang lain. Oleh itu mari kita sama-sama sebarkan indahnya beradab sopan. Pahala kita beradab dapat, pahala menyebarkan dakwah juga dapat. Hebat bukan?  Straight A SPM atau Straight A adab? Pilihlah kedua-duanya.

Selamat beradab semua!

Dikongsikan dengan penuh beradab oleh :
Cik Sakinah
Pembantu AMPACoach

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *