Kebebasan Hidup. Di Mana Batasnya?

Hari demi hari, manusia memperkatakan tentang hak asasi manusia. Malah ramai yang menggunakan kalimah hak asasi manusia dalam menjustifikasikan perjuangan mereka. Malangnya, bagi kita yang tidak tahu, kita turut mengangguk setuju. Sedangkan ia adalah sebahagian daripada  tindakan licik juak-juak liberal, sekular dan pluralis yang semakin kuat menyalak.

ASAL USUL HAK ASASI MANUSIA

Perjuangan menuntut kebebasan hak asasi manusia kononnya bermula sejak abad ke-13. Ia bermula di Eropah dan Amerika Syarikat. Perjuangan ini berpunca daripada diskriminasi yang berlaku ke atas rakyat yang kemudiannya membangkitkan semangat rakyat untuk memastikan mereka bebas dalam melaksanakan hak mereka sebagai manusia. Mereka tidak mahu lagi ditindas. Maka digariskan apakah hak mereka serta larangan yang menghalang hak mereka dicabuli.

Hak untuk  hidup, hak untuk berniaga, hak untuk didengari sebelum dihukum, hak untuk menganut agama, hak untuk memiliki benda dan hak untuk mendapatkan pendidikan adalah antara hak-hak asasi yang dipertahankan. Era masa kini, para pejuang kebebasan hak asasi manusia menjadikan UNIVERSAL DECLARATION OF HUMAN RIGHTS yang digagaskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai rujukan teragung.

Namun perlu kita ketahui bahawa sebenarnya Islam sudah pun berbicara tentang perkara ini sejak berkurun lamanya. Kehadiran Islam sesungguhnya menjaga hak asasi manusia malah meninggikannya ke tahap yang lebih mulia.

Allah berfirman dalam surah Al-Israa’ ayat 70 : “Sesungguhnya kami telah memuliakan (status) anak-anak Adam.”

Malah Islam senantiasa mengatur kehidupan manusia dengan menjaga lima perkara asas menerusi maqasid syariahnya yakni agama, nyawa, aqal, keturunan dan harta. Tambahan pula, tidak ada diskriminasi dalam Islam dan penindasan adalah sesuatu yang sangat dilarang.

Tuntasnya, kebebasan hak asasi manusia bukanlah sesuatu yang dilarang oleh Islam. Cuma kita perlu sedar betapa berbezanya perjuangan menegakkan hak asasi manusia antara prinsip Islam yang syumul dan prinsip sekular yang dangkal.

PERBEZAAN HAK ASASI MANUSIA; ISLAM vs SEKULAR

Meskipun kebebasan hak asasi manusia ditegakkan dalam Islam, ia sangat berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh puak-puak sekular. Sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan agama dengan soal duniawi. Agama hanya dihadkan untuk perkara-perkara ritual dan peribadatan. Manakala dalam hal ehwal lain seperti politik, ekonomi dan sistem sosial, Islam tidak layak untuk bersuara.

Penganut ideologi ini menuntut kebebasan hak asasi manusia yang bersifat mutlak. Seperti yang dimaklumkan tadi, rujukan tertinggi mereka adalah UNIVERSAL DECLARATION OF HUMAN RIGHTS dan deklarasi itu kemuncaknya bukanlah berasaskan kepada Islam yang diturunkan oleh Allah. Kemuncaknya adalah manusia! Semuanya berpusat kepada manusia.

Maka selagi mana wujud manusia yang berasa tertindas dan kemahuannya tidak dibela, kebebasan hak asasi manusia akan menjadi tiket untuk haknya ditegakkan meskipun hak tersebut tidak dibenarkan oleh Allah. Sebagai contoh, hak untuk berkahwin sesama jantina. Oleh kerana perjuangan hak asasi manusia ini berpusat kepada manusia, akhirnya hak yang sebenarnya diperkudakan oleh hawa nafsu diangkat menjadi hak asasi manusia.

Adakah kebebasan ini dibenarkan dalam Islam? Semestinya tidak! Malah hampir semua agama mengharamkan perkahwinan sejenis ini. Tetapi atas tiket kebebasan hak asasi manusia versi sekular ini, maka berbondong-bondonglah manusia bertuhankan nafsu berjaya mendapat apa yang mereka mahu.

Sekarang ini, timbul pula desakan daripada golongan peldofilia yang mahukan hak yang sama dengan golongan homoseksual ini atas tiket hak asasi manusia. Dan selepas ini golongan mungkar mana pula yang akan muncul memberitahu dan menuntut perkara yang sama?! Semuanya atas nama kebebasan hak asasi manusia.

KEBEBASAN HAK ASASI MANUSIA YANG SEBENAR

Sesungguhnya hak asasi manusia yang diperjuangkan dalam Islam adalah perkara yang menjaga kemuliaan manusia dan mendekatkannya dengan Allah s.w.t..

Manusia bukanlah kemuncak kepada segala-galanya. Islam bukanlah humanisme. Dalam Islam kita diajar untuk mendaulatkan Allah sebagai Tuhan sekalian alam. Kita juga disuruh untuk menuruti perintah Allah dan menjauhi larangannya.

Ini kerana hanya Allah yang benar-benar tahu perkara yang perlu kita tahu. Hanya Allah yang benar-benar tahu apakah perkara yang kita perlu. Hanya Allah yang benar-benar tahu apakah hak asasi kita dan apakah pula tanggungjawab asas kita. Bukankah Dia yang menciptakan kita? Dan bukankah Dia Yang Maha Mengetahui, Maha Bijaksana?

Jika kita merasakan segala peraturan yang Allah letakkan ke atas kita sebagai satu bebanan, kita silap. Sekiranya kita rasa terkongkong dengan batas-batas yang Allah letakkan dalam hidup kita, kita sekali lagi silap!

Sesungguhnya Allah meletakkan segala peraturan bukannya untuk menyekat hak. Bahkan perintah-perintah Allah itulah yang sentiasa menjaga hak kita sebagai manusia. Tanpa peraturan itu maka hancurlah sistem kehidupan kita. Bukannya membebani hidup kita.

Contoh mudah konsep lampu isyarat di jalan raya. Ketika anda memandu tiba-tiba lampu isyarat di simpang hadapan berubah kepada warna merah, apakah yang anda akan lakukan? Ya, anda mesti berhenti. Undang-undang jalan raya telah ditetapkan untuk anda berhenti. Namun bukankah itu menyekat hak anda untuk bergerak? Bukankah itu melambatkan perjalanan anda?

Semestinya tidak. Dengan anda menuruti peraturan jalan raya tersebut, anda menyebabkan anda dan pemandu yang lain selamat.  Malah jika anda melanggar peraturan tersebut, perjalanan anda bukan sahaja menjadi lambat malah mungkin anda terlibat dalam kemalangan yang akhirnya langsung tidak tiba ke destinasi! Inilah yang dikatakan peraturan yang nampak seperti mengehadkan hak asasi tetapi sebenarnya menjaga hak asasi manusia!

JOM PERJUANGKAN HAK ASASI MANUSIA CARA ISLAM

Abang Badr sangat-sangat mengharapkan anda semua untuk menjadi Muslim yang memperjuangkan hak asasi manusia mengikut cara Islam. Usah terlalu mengejar kebebasan yang zahirnya kelihatan bebas tetapi sebenarnya perangkap untuk merantai anda.

Andai semua manusia bebas melakukan apa sahaja atas tiket hak asasi manusia, percayalah kita tidak akan bebas. Kita akan tinggal dalam ketakutan dan kekalutan. Kerana tuhan bukan lagi Allah tetapi nafsu. Manusia pula banyak fe’elnya. Maka punah ranahlah dunia ini.

Maka baliklah kepada Al-Quran dan Sunnah. Ini sahaja yang mampu memastikan kita berada di atas jalan yang benar dan tidak sesekali akan sesat. Biarlah kita bebas dengan cara Islam. Bebas yang ada batasnya. Dan batas itu untuk memastikan kita terus bebas daripada kemungkaran. Bebas daripada godaan syaitan.

Jom hidup dengan cara Islam. Dan ingatlah bukankah Islam adalah agama yang benar di sisi Allah? Dengan mengikut cara hidup Islam dan membuang jauh-jauh sekularisme, kita sedang mendekatkan diri dengan Yang Maha Perkasa, Allah s.w.t.. Berjaya dunia, Berjaya akhirat.

Jom! Jom! Allahuakbar!

Dikongsi Dengan Cukup Bersemangat Oleh :
ABG BADR
Master Trainer AMPAC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *